SABTU lalu menyaksikan berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang menjadi acara tradisi setiap tahun bagi parti Melayu terbesar negara itu.
Meskipun persidangan empat hari itu dikatakan sejuk tanpa isu atau insiden panas, namun auranya tetap dirasai.
Berdasarkan pemerhatian penulis, perhimpunan yang diadakan buat kali kedua sebagai pembangkang, UMNO dilihat kembali 'segar' dalam mencari hala tuju bagi mengukuhkan parti.
Kebangkitan itu mungkin didorong dengan semangat kemenangan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan terbaru apabila calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi di Parlimen Tanjung Piai, Johor, bulan lalu.
Kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan janji manifestonya serta pergolakan dalaman yang dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara tidak langsung juga menjadi peluru UMNO untuk menyerang kerajaan hari ini.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rata-rata perwakilan ketika membahaskan ucapan dasar presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membakar lagi semangat ahli dan pemimpin UMNO untuk terus memperkukuhkan parti.
Selain itu, gabungan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas yang dimeterai secara rasminya September lalu turut menjadi fokus dalam kebanyakan ucapan perwakilan serta kepimpinan tertinggi parti yang mencecah usia 73 tahun itu.
Bagaimanapun, isu 'kerajaan pintu belakang' yang turut dikaitkan dengan Ahli Parlimen UMNO yang menghadiri perjumpaan 'sulit' dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Putrajaya baru-baru ini mendapat reaksi kurang senang daripada beberapa perwakilan ketika sesi perbahasan.
Namun, Ahmad Zahid ketika sesi penggulungan dan sidang media selepas berakhirnya perhimpunan itu sekali lagi menegaskan bahawa gabungan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas tidak mengimpikan kerajaan pintu belakang meskipun peluang itu sudah terbuka.
Katanya, walaupun pintu depan dan belakang terbuka, kedua-dua parti itu tetap memilih pintu hadapan.
"Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Sementara kita bersiap menunggu pilihan raya umum ke-15 (PRU15), banyak perkara perlu kita selaraskan dalam Muafakat Nasional," katanya.
Dalam pada itu, wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Faizal Ramli meminta supaya Muafakat Nasional yang melibatkan UMNO dan Pas perlu bersedia mulai sekarang untuk menghadapi PRU15 yang mungkin diadakan bila-bila masa.
Katanya, kemenangan PRU15 amat penting untuk memastikan pembangkang dapat menamatkan 'keperitan' rakyat di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.
"Kita tidak tahu bilakah PRU15 akan dilakukan, adakah dalam tempoh dua tahun, lima tahun atau enam bulan lagi. Sebab itulah kita perlu benar-benar bersedia untuk kembali berkuasa di negara ini.
"Kemenangan PRU15 amat penting bagi kita kerana 18 bulan yang dihadapi ini (selepas PH perintah) amat perit untuk rakyat. Maka wajib kita menang untuk perjuangkan nasib rakyat. Justeru, diharapkan selepas PRU15 yang dijangka bila-bila masa ini, kita akan berhimpun dalam dewan ini sebagai kerajaan," katanya.
Kebangkitan yang dinantikan penyokong
Sementara itu, Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri menyifatkan persidangan UMNO tahun ini menunjukkan hala tuju yang semakin jelas.
"Saya lihat UMNO pada hari ini sudah pun mempunyai hala tuju yang jelas tentang pendirian sendiri sebagai sebuah parti pembangkang.
"Ini kerana sebelum ini kita sering dimomokkan dengan plot cerita yang cuba dikaitkan dengan UMNO apabila ada cubaan pihak tertentu yang mengaitkan UMNO dengan kerajaan pintu belakang.
"Jadi pada kali ini UMNO telah menetapkan hala tuju mereka sendiri iaitu mereka sama sekali menolak kepada kerajaan pintu belakang yang diuar-uarkan sebelum ini," katanya.
Menurutnya, pendirian itu turut disokong sayap-sayap parti dan sepakat menolak pembentukan kerajaan pintu belakang.
Mengulas lanjut, Achmad Dzariean berpandangan bahawa peringatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya organisasi parti diperkukuhkan perlu diberikan perhatian.
"Ini satu nasihat yang baik dan tegas oleh oleh Timbalan Presiden (Mohamad) yang menyatakan UMNO perlu memperkukuhkan organisasi mereka terlebih dahulu dalam erti kata UMNO perlu kukuhkan struktur selepas alami kekalahan.
"Ini kerana selepas kekalahan UMNO (pada PRU14) berdepan satu defisit kepercayaan yang telah menjunam daripada rakyat.
"Saya tidak kata UMNO bangkit tapi selepas Mohamad keluarkan kenyataan, UMNO kini sudah cuba mula bangkit daripada kejutan," katanya.
Melihat kepada pandangan dan penerimaan positif terhadap perhimpunan bagi parti yang menjadi kerajaan lebih 60 tahun itu secara jelasnya menunjukkan bahawa UMNO telah melakukan 'muhasabah' parti mereka.
Sudah pasti, kebangkitan parti ini merupakan perkara yang paling dinantikan ahli akar umbi yang sentiasa setia kepada UMNO selama ini.
Justeru, harapan kini terletak kepada kepimpinan teratas parti untuk melakukan gerakan segera dan usaha berterusan untuk mengukuhkan parti sekaligus kembali menjadi kerajaan pada PRU15 nanti.
Seperti mana yang dilaungkan beberapa perwakilan ketika membahaskan usul dalam perhimpunan yang berakhir Sabtu lalu, mereka mahu melihat dalam perhimpunan akan datang UMNO kembali sebagai kerajaan.
Kepada pemimpin, sahutlah cabaran bagi membuktikan anda semua mendengar denyut nadi rakyat.