INDUSTRI pelancongan antara bidang yang banyak membantu pembangunan negeri setiap tahun, malah dengan kemasukan pelancong luar dan dalam negara, sesebuah negeri itu akan menerima pelbagai manfaat pembangunan dan ekonomi yang lebih pesat.
Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2020 dijangka membawa sinar kepada perkembangan semasa pelancongan negeri. Malah, ia bagaikan satu perayaan hebat apabila masing-masing mula bercakap dan teruja menantikannya.
Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 5.5 juta pelancong ke Kelantan dan yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan wilayah pantai timur itu memiliki banyak lokasi menarik untuk dikunjungi.
Memang Kelantan mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi. Bukan hanya untuk beriadah, malah 'food hunter' dan juga syurga membeli-belah kepada mereka yang sukakan seni kraf terutamanya batik, pembuatan wau dan pelbagai lagi.
Sejauh mana persediaan kita sebagai rakyat Kelantan? Bersediakah kita menerima lebih lima juta pelancong dengan kemudahan yang kita sediakan kini? Mampukah kita memenuhi semua keperluan mereka sepanjang berada di tanah rendah sekebun bunga ini?
Kebersihan ialah salah satu aspek yang perlu dititikberatkan terutama di lokasi-lokasi tumpuan pelancong. Tidak mengapa jika terpaksa membayar 20 sen untuk masuk tandas asalkan ia bersih dan selesa.
Bagaimana pula dengan tong sampah dan keperluan lain, adakah ia sudah cukup di kawasan-kawasan tumpuan pelancong ini? Adakah rakyat Kelantan sendiri patuh dengan adab membuang sampah ke dalam tong sampah? Tepuk dada, tanya diri sendiri.
Sudah cukup lembutkah kita untuk menerima dan menyapa pelancong-pelancong ini? Bagaimana pula persiapan hotel, rumah tumpangan dan rumah-rumah inap? Informasi, kemudahan, keperluan semasa pelancong juga janganlah dilupakan.
Kita bukan hanya menyediakan keperluan untuk berteduh, namun kitalah yang membantu mereka untuk berada lebih lama di negeri ini.
Tumpuan pelancong
Melihat kepada statistik tahun ini, jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini sehingga Oktober lalu ialah 3.45 juta orang merangkumi pelancong tempatan dan antarabangsa.
Maka, persediaan yang perlu dilakukan untuk TMK2020 juga bukan hanya tertumpu pelancong dalam negara, malah ia perlu meliputi semua skop dan keperluan pelancong luar negara juga.
Pintu-pintu masuk utama terutama lapangan terbang juga perlu ada identiti sendiri sebagai sebuah negeri yang penuh berseni, memartabatkan kebudayaan dan sebati dengan keislaman.
Jika perlu, lakukan sesuatu yang membuatkan pelancong merasa suasana ‘wow’ apabila mula memijak kaki ke bumi Kelantan.
Pasar Siti Khatijah, Pasar Terapung Pulau Suri, Pasar Malam Wakaf Che Yeh, Bazar Tok Guru, Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, Kampung Kraftangan, Bazar Buluh Kubu, Rumah Api Pantai Senok, Gunung Stong, Bukit Marak, Air Terjun Jelawang, Kolam air panas Tok Bok, Gua Ikan, akan menjadi antara lokasi kunjungan pelancong kali ini.
Bukan itu sahaja, mereka yang suka mengkaji sejarah dan sebagainya turut disajikan dengan makam-makam diraja zaman dahulu termasuklah mereka yang mahu melihat sendiri patung budha tidur terbesar di Asia selepas Mynmar iaitu di Wat Phothivihan di Jalan Meranti, Tumpat.
Jangan bergantung harap pada kerajaan semata-mata, pelbagai inisiatif boleh dilakukan. Media sosial merupakan medium paling mudah, menarik dan cepat.
Inilah masanya untuk melihat pergerakan pemandu-pemandu pelancong menaikkan nama Kelantan dan bawa ke tempat-tempat yang jarang dikunjungi.
Gunakanlah masa yang ada ini sebaik mungkin untuk memperbaiki, buat sehabis baik apa yang perlu dilakukan. Bukan hanya menunggu. Senaraikan tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi pelancong, sebarkan untuk makluman semua rakyat seluruh negara.
Bantu promosi negeri sendiri dan bukan hanya menggunakan jari untuk menabur fitnah dan berkongsi sesuatu yang tidak membawa kebaikan kepada masyarakat, negara dan bangsa.
Beca, teksi dan Grab, semuanya perlu bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pelancong.
Tambang yang murah dan berpatutan, kenderaan bersih dan selesa supaya mereka tahu dan ingat, ‘sedap sungguh jale di kelate, makene muroh, ore kelate baik belako, mudoh baso’.
* Siti Fatihah Awang ialah wartawan Sinar Harian Edisi Kelantan