JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bakal menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan berjumlah RM1 juta kepada 10,000 murid kurang berkemampuan di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ).
Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sumbangan itu merupakan tambahan kepada bantuan RM100 seorang yang diberi Kerajaan Pusat.
Menurutnya, bantuan tersebut akan disalurkan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) dan diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga murid terbabit.
"Secara tidak langsung penyumbang bantuan khususnya pembayar zakat akan turut mendapat kebaikan daripada amalan ini," katanya ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Mainj di Pusat Islam Iskandar, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Mainj, Md Rofiki Shamsudin dan Penasihat Mainj, Datuk Nooh Gadot.
Sementara itu, Aminolhuda berkata, pihaknya yakin akan dapat membuat kutipannya zakat berjumlah RM300 juta bagi tahun ini.
"Sasaran ditetapkan adalah sebanyak RM290 juta, namun kami yakin dengan pelbagai program bantuan dan sumbangan dijalankan, lebih ramai pihak akan membuat bayaran zakat.
"Oleh itu kami yakin mampu capai kutipan zakat sebanyak RM300 juta kerana ramai pihak akan terpanggil untuk bersama membantu individu memerlukan," katanya.