Bakal 'tok imam' teruja bersunat, tidur dengan jam loceng

Iklan
Ihtisam (kanan) dan Mohd Aliff teruja untuk berkhatan hari ini.

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki yang teruja untuk berkhatan sanggup tidur sambil memegang jam loceng supaya dapat bangun pagi di rumahnya di Wakaf Mek Zainab di sini.

Muhammad Ihtisam Amiruddin, 8, yang pada mulanya tidak berhasrat untuk berkhatan mengunci loceng pada jam 5 pagi kerana bimbang tidak dikejutkan ibunya.

Iklan
Iklan

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia gembira apabila diajak dua rakan yang juga adik-beradik, Mohd Yusoff, 7 dan Mohd Aliff Fitri Abdul Mutaliff, 10, untuk berkhatan pada cuti persekolahan

"Saya memang tak nak bersunat lagi tapi kawan-kawan cakap nanti lepas bersunat kita boleh solat saf depan. Saya memang nak jadi tok imam kalau boleh," katanya pada program berkhatan anjuran Briged Aman Cawangan Kelantan di sini, hari ini.

Iklan

Sementara itu, ibu Muhammad Ihtisam, Hanifah Hamzah mengakui terkejut dengan keterujaan anaknya dan menganggapnya satu gurauan sahaja.

"Saya terkejut apabila dia beritahu mahu bersunat semalam. Saya kata nantilah dulu, saya tidak buat apa-apa persediaan tetapi dia menangis sehingga saya bersetuju membawanya berkhatan.

Iklan

"Pagi tadi sebelum azan subuh dia sudah kejutkan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ihtisam (kanan) bersama peserta lain bersedia menunggu giliran masing-masing.

Muhammad Ihtisam bersama lebih 50 peserta lain mula berkhatan jam 10.30 pagi ini pada majlis yang dirasmikan Pengerusi Briged Aman Malaysia Cawangan Negeri Kelantan, Anuar Rajib.

Sementara itu, Anuar ketika ditemui berkata, program tersebut adalah salah satu aktiviti kebajikan dirancang NGO itu bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

"Penubuhan Briged Aman adalah untuk membantu kebajikan rakyat negara kita terutama golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan asnaf.

"Bersesuaian dengan cuti sekolah kali ini, kita bantu mereka yang mahu berkhatan dengan percuma dan insya-Allah akan datang ini program 'Back to School' pula. Apa pun kami masih mengumpul dana untuk tujuan tersebut," katanya.

Menurutnya, sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk membantu mangsa banjir gelombang pertama di negeri ini sejak dua minggu lalu.

"Kita juga sudah menjelajah ke seluruh pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini bagi menyampaikan bantuan berbentuk keperluan asas dan makanan.

"Kita mengalu-alukan kerjasama sumbangan dana daripada mana-mana pihak dan insya-ALLAH mereka boleh membuat pengecualian cukai dan dapat menikmati kelebihan lain," katanya.

Anuar (kanan) berbual dengan peserta berkhatan di sini hari ini.