KUANG - Kira-kira 100 pembeli Pangsapuri Laguna Biru Fasa 2, Tasik Biru Kundang di sini berkumpul menggesa pemaju, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Aspirasi Sdn Bhd menyiapkan projek perumahan mereka yang masih berbaki lima peratus sebelum Mac ini.
Wakil pembeli, Muhammad Rudih Suna Lim berkata, pembeli sepatutnya menerima kunci pada November 2018, namun sehingga kini beberapa kali penangguhan dibuat.
Menurutnya, kelewatan penyerahan kunci menyebabkan pembeli dalam keadaan tertekan dan menanggung bebanan hutang dengan komitmen bank dan sewa rumah.
"Sehingga ada di antara kami yang hampir diisytihar muflis disebabkan bebanan hutang bank. Kami desak supaya pemaju bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah dalaman mereka tanpa menjadikan pembeli sebagai mangsa keadaan.
"Pemaju banyak kali mungkir janji dan sepatutnya kami terima kunci Mac ini tapi melihatkan progres projek yang agak perlahan kami bimbang penyerahan kunci itu akan ditangguh lagi," katanya ketika meninjau projek perumahan bersama pembeli lain.
Turut serta, Adun Kuang, Sallehudin Amirudin dan Ahli Majlis Zon 19 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Azman Yaakob.
Mengulas mengenai isu itu, Azman berkata, siri penangguhan penyerahan kunci rumah bernilai antara RM145,000 hingga RM166,000 itu merencatkan urusan pembeli yang terpaksa mengubah semula pelan pemindahan disebabkan isu tersebut.
"Antaranya yang menyewa terpaksa pindah dari rumah sewa sebab dah berjanji dengan pemilik untuk keluar pada Mac ini dan ada juga yang terpaksa mengurus jadual pemindahan anak-anak ke sekolah baru.
"Ia turut membebankan kewangan pembeli yang menyewa dalam masa sama perlu menjelaskan bayaran bank. Itu masalah dihadapi pembeli yang kebanyakannya adalah dalam kategori pembeli kediaman pertama," katanya.
Sementara itu, Sallehudin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemaju untuk memastikan projek tersebut diselesaikan menjelang Mac.
"Pemaju perlu pastikan penyerahan kunci pada Mac benar-benar berlaku atau hal itu terpaksa dipanjangkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk campur tangan.
"Namun kita yakin baki lima peratus projek melibatkan kerja infrastruktur mampu diselesaikan dalam kadar segera dan saya bersedia menjadi pemudah cara kepada MPS untuk urusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC)," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Aspirasi Sdn Bhd, Hisham Ahmad meletakkan keyakinan projek fizikal berbaki tiga peratus itu mampu disiapkan penghujung bulan ini dan selesai Mac ini jika tiada sebarang masalah di peringkat kelulusan CCC.
"Penyerahan kunci adalah dalam tempoh 48 bulan bermula perjanjian jual beli yang ditandatangani pembeli pada November 2014 dan berakhir November 2018.
"Namun penangguhan penyiapan berlaku disebabkan isu teknikal melibatkan penyambungan bekalan elektrik dan saluran pembetungan membabitkan pembangunan bersebelahan yang sudah diselesaikan," katanya
Beliau berkata, sebagai anak syarikat SPNB pihaknya komited dalam penyiapan projek sebagai memberikan contoh yang baik kepada pemaju lain.
"Kami akan bertanggungjawab dan patuhi terma perjanjian jual beli termasuk ganti rugi yang akan diselesaikan selepas selesai CCC dan penyerahan kunci," katanya.