KUANTAN - Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah Negeri Pahang meningkat kepada RM3,979 pada 2016 berbanding RM3,389 pada 2014 dengan kadar pertumbuhan lapan peratus setahun.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Pahang, Zainol Jamil berkata, daripada statistik tersebut, penduduk Cameron Highlands direkodkan sebagai daerah tertinggi berpendapatan isi rumah kasar bulanan penengah, iaitu RM4,968 diikuti Kuantan, RM4,949.
Menurutnya, data yang diperoleh bagi tempoh dua tahun sekali itu menjadi asas maklumat kepada kerajaan dalam membentuk ekonomi dan perancangan sesebuah negara.
"Berdasarkan kaji selidik dan data 2016 itu juga kita mendapati purata perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan, bagi negeri Pahang pada tahun 2016 turut menunjukkan peningkatan kepada RM3,316 berbanding RM2,963 tahun 2014.
"Perbelanjaan penggunaan di negeri Pahang umumnya didominasi empat kumpulan utama yang diwakili kumpulan makanan minuman bukan alkohol, perumahan, air, elektrik, gas, bahan api lain, pengangkutan dan restoran dan hotel.
"Berdasarkan kaji selidik dan data 2016 itu juga mendapati agihan pendapatan semakin saksama dan insiden kemiskinan bagi Pahang bertambah baik daripada 0.7 peratus kepada 0.2 peratus pada 2016,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Kick Off Survei Pendapatan Dan Perbelanjaan Isi Rumah Dan Kemudahan Asas (HIES /BA) 2019, di Kampung Padang, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia Program Sosial dan Pembangunan Teknikal, Nazaria Baharudin; Pengarah Kanan yang juga Ketua Survei, Siti Asiah Ahmad; Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia Program Ekonomi, Ibrahim Jantan dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Pahang, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Dalam pada itu katanya, secara am, statistik penduduk rakyat Pahang berjumlah 1.68 juta orang yang didominasi kaum lelaki dengan nisbah jantina 115 lelaki bagi setiap 100 perempuan berdasarkan data 2017.
Manakala jangka hayat penduduk Pahang bagi kaum lelaki adalah 71 tahun manakala kaum wanita pula ialah 77 tahun.
Katanya, pemilihan Pahang sebagai lokasi perasmian kaji selidik secara tidak langsung melonjakkan imej jabatan dalam melaksanakan fungsinya sebagai penjana statistik negara yang penting kepada golongan masyarakat.