SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengumumkan untuk meninggalkan dunia politik kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang baharu.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, beliau juga ingin memberi tumpuan kepada soal pembelajaran di samping lebih tertarik untuk menceburi bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IOT).
"Jelas menerusi Twitter saya, saya ingin menjelaskan tidak akan kembali ke politik. Saya berada dalam fasa kehidupan di mana saya perlu belajar. Hanya dengan belajar kita akan jadi lebih baik dan menyumbang lebih baik.
"Teruja untuk memberi tumpuan kepada AI, pembelajaran mesin & IoT, lihat apa yang saya jumpa minggu lepas," katanya dalam hantaran Twitter beliau hari ini.
Pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan Rafizi daripada sabitan mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).
Sabitan dan hukuman penjara terhadapnya itu menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum lalu.
Sejurus keputusan tersebut, Rafizi pernah menyatakan pendirian untuk tidak minat kembali aktif dalam politik atau menyandang sebarang jawatan penting dalam kerajaan kerana mahu berehat dalam tempoh dua hingga empat tahun dan menjadi orang biasa serta menumpukan kepada keluarga.