JAGUH lempar cakera lelaki negara, Muhammad Irfan Shamsuddin melengkapkan hari gemilang skuad olahraga negara selepas menyumbang pingat emas kelima pada hari terakhir acara olahraga Sukan SEA ke-30 di Filipina, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Olahraga New Clark City, juara bertahan sejak edisi 2013 di Myanmar itu sekadar melakukan catatan 57.29 meter (m) pada balingan pertama, namun baki lima lagi balingan dibatalkan oleh juri pertandingan kerana Muhammad Irfan telah memijak had garisan had balingan.
Balingan itu, bagaimanapun sudah cukup untuk anak jati Negeri Sembilan itu, meraih emas keempat berturut-turut pada temasya sukan dwitahunan berkenaan. Seorang lagi wakil negara, Abdul Rahman Lee pula menamatkan saingan di tempat keempat daripada sembilan peserta dengan balingan sejauh 51.19m.
"Alhamdulillah di atas kejayaan ini, tapi saya jangkakan keputusan yang lebih baik, tapi dua minggu sebelum bermulanya Sukan SEA, ligamen (kaki) saya mengalami koyakan dan saya agak sedih.
"Saya akan kembali ke Malaysia esok dan akan meneruskan rawatan, sebelum menghadapi beberapa kejohanan pada tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan.
Terdahulu, jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail melakar emas hatrik sejak edisi 2015 di Singapura selepas mencatat lompatan sejauh 16.68 meter.
Seorang lagi wakil negara, Andre Anura Anuar menduduki tempat kelima, daripada tujuh peserta menerusi catatan 16.00 meter.
Tiga lagi emas Malaysia hadir menerusi Muhammad Haikal Hanafi dalam acara 100 meter lelaki, Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita) serta Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi lelaki.
Tambahan dua emas yang diperolehi pada hari ini menyaksikan Malaysia mengumpul lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa sekali gus menyamai pencapaian pungutan pingat emas pada edisi 2011 di Indonesia, dengan kutipan lima emas, dua perak dan tiga gangsa. - Bernama