KAJANG - Bapa mana tidak sedih apabila anak yang dahulunya lincah dan dilahirkan sihat terpaksa bergantung dengan rawatan kemoterapi selepas menghidap kanser buah pinggang tahap empat sejak setahun lalu.
Md Roslin Kamaruddin, 34, berkata, anak sulungnya, Ahmad Maulana Md Roslin, 6, telah menjalani dua pembedahan major termasuk membuang satu buah pinggangnya bagi merawat penyakitnya yang dikesan Oktober tahun lepas.
Namun menurutnya, pembedahan tersebut tidak mematikan sel kanser sebaliknya telah merebak ke bahagian usus dan buah pinggangnya.
"Dia tidak mendapat bantuan sewajarnya kerana masalah dokumentasi. Walaupun lahir dalam negara namun pendaftaran kelahirannya yang lewat kerana dibesarkan isteri di Medan sehingga umurnya tiga tahun menyukarkan proses pendaftaran," katanya.
Katanya, dia berharap proses peroleh kewarganegaraan diselesaikan segera bagi menyelesaikan isu tunggakan bil di dua hospital mencecah hampir RM20,000.
"Kerana tiada Mykid, kos hospital menjadi mahal. Alhamdulillah rawatan kemoterapi yang berjumlah RM2,000 bagi setiap sesi ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor.
"Permohonan pendaftaran Maulana telah dibuat sebanyak dua kali dan dokumen yang diperlukan juga sudah lengkap hanya menunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.
Katanya, keadaan Maulana yang kerap keluar masuk hospital menyebabkan dia dan isteri, Aguslina Suhaimi, 31, tiada pendapatan tetap sebaliknya hanya bekerja secara sambilan bagi menyara keluarga.
"Masalah anak yang sakit dan kerap masuk ke hospital menyebabkan saya sibuk menguruskannya sehingga dibuang kerja sebagai pengawal keselamatan.
"Selepas jalani pembedahan saya mula cari pekerjaan namun tidak kekal lama hanya mampu bertahan kurang dua bulan selepas keadaannya kembali merosot kerana serangan sel kanser," katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga Md Roslin boleh bersama-sama menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB miliknya, 7006413748.