ISLAMABAD - Seorang anggota paramedik di Pakistan ditahan selepas didakwa menculik seorang bayi untuk diberikan kepada ibu saudaranya yang tidak mempunyai anak.
Bayi tersebut diambil tidak lama selepas dia dilahirkan di sebuah hospital di Balochistan, dekat barat daya negara itu.
Kehilangan bayi berkenaan pada awalnya tidak disedari ahli keluarga memandangkan tiada siapa memberitahu bahawa si ibu telah melahirkan anak kembar.
Menurut abang ipar, Abdul Hamid, mereka hanya mengetahui perkara itu selepas adiknya yang berada dalam keadaan separuh sedar selama beberapa hari tersedar dan bertanya tentang seorang lagi anaknya.
"Kami semua terkejut apabila dia bertanya tentang bayi kedua," katanya.
Selepas aduan difailkan, polis menahan seorang paramedik wanita yang bertugas di bilik bersalin pada malam kejadian dan seterusnya membawa pihak berkuasa terus kepada lokasi bayi tersebut.
"Dia dibantu dua rakan sekerja untuk menyeludup bayi keluar dari hospital sebelum menyerahkan kepada ibu saudaranya yang telah berkahwin selama 17 tahun namun tidak dikurniakan anak.
"Suspek berkata ibu saudaranya terlalu inginkan anak angkat," jelas jurucakap polis, Jahangir Shah.
Polis memberkas empat wanita dan keluarga Bibi akhirnya bersatu semula dengan bayi yang masih belum dinamakan itu. - Agensi