SEPANYOL – Seorang pengadil perempuan menerima ugutan rogol daripada seorang penyokong bola sepak ketika cuba meleraikan pergaduhan sewaktu mengendalikan sebuah perlawanan bola sepak di sini.
Pengadil berusia 16 tahun itu menerima ugutan berunsur lucah itu pada perlawanan antara pasukan CD Chilegua La Pared dengan pasukan UD Jandia di Fuerteventura pada hujung minggu lalu.
Ketika kedua-dua pasukan bola sepak itu sedang bergaduh di padang, seorang penyokong UD Jandia bertindak agresif dan mengeluarkan ugutan itu ketika bertemu dengan pengadil tersebut.
"Jika saya tangkap awak di luar, saya akan rogol kamu,” kata penyokong tersebut seperti dilapor Metro.co.uk memetik sumber.
Dalam pada itu, mengikut laporan dikeluarkan ketua pengadil, Antonio Jonatan Almeida Espino, penyokong tersebut turut mengugut remaja tersebut dengan memberitahu,"Saya akan tumbuk muka awak dan membuatkan kekasaran pada awak.”
Persatuan Bola Sepak Las Palmas dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengutuk tindakan ugutan rogol yang diterima oleh pengadil wanita itu.
"Sebagai pihak penganjur pada pertandingan ini, saya mengutuk tindakan ugutan seksual ini yang tidak memberi sebarang faedah dan tindakan ini hanya untuk menakutkan wanita menyertai sukan ini yang sebenarnya tidak memberi sebarang ugutan fizikal dan kekasaran.
"Kami memberi sokongan penuh kepada rakan setugas kami di Fuerteventura yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh salah seorang penyokong ketika sedang menjalankan tugasnya,” katanya.
Sementara itu, menerusi sebuah video yang dikongsi oleh @TodoGolesRadio di Twitternya memaparkan video kejadian tersebut yang menyaksikan kedua-dua kelab pasukan pada perlawanan tersebut cuba menghalau penyokong tersebut keluar dari stadium.