SEREMBAN – Kehadiran beberapa buah bas yang dipakir di tepi jalan utama di Taman Jasmin di sini membimbangkan penduduk.
Penduduk, Mohd Arfian Ahmad, 45, berkata, adanya bas berkenaan bukan sahaja mengundang bahaya tetapi juga masalah kesesakan setiap kali waktu puncak.
"Sekurang-kurangnya tiga buah bas yang diparkir di situ sehingga ‘menutup’ satu lorong dan ia sangat berbahaya.
"Kalau kita tahu siapa pemiliknya, bolehlah pergi jumpa, tapi ini tak tahu. Dulu saya dah pernah tularkan di Facebook dan sekejap dia ‘hilang’ tapi ada semula dan sekarang dah hampir dua minggu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, aduan telah pun dibuat kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan tindakan telah pun diambil dengan kenderaan terbabit disaman.
Namun katanya, pemiliknya ternyata tidak makan saman dan berterusan parkir di situ.
"Sebelum ini ada sampai lima buah. Tempat bas itu diparkir pula jalan utama dan banyak bas kilang keluar masuk kerana berhampiran taman perumahan ini ada kilang.
"Kalau parkir sekejap kita boleh terima lagi tapi ini berminggu. Saya tengok kertas saman yang MPS letak di cermin bas itu pun dah lunyai,” katanya.
Mohd Arfian berkata, pihak berkuasa tempatan(PBT) juga diharap dapat mengambil tindakan lebih tegas misalnya menunda kenderaan itu kerana pemiliknya ternyata degil.
"Setakat ini belum lagi terjadi kemalangan tapi hampir kemalangan itu sudah biasa. Saya harap masalah ini ada penyelesaian daripada pihak berkenaan,” katanya.