RAUB - Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai membakar dua kenderaan di Kampung Cheroh di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, suspek pertama berusia 38 tahun dan bekerja sebagai ejen madu kelulut manakala seorang lagi sedang dikenal pasti.
Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Ketika kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek pertama bersama rakannya membaling dua tong plastik disyaki mengandungi minyak petrol ke arah kereta jenis Toyota Under dan Honda HRV milik mangsa dan ayahnya yang di parkir di ruang tempat kenderaan terbabit.
Kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham membabitkan mangsa dan juga suspek pertama selepas hubungannya bersama adik perempuan mangsa tidak direstui keluarga tersebut.
Menurutnya, adik perempuan mangsa yang juga ibu tunggal berusia 36 tahun telah keluar rumah mengikut suspek pertama pada 7 Disember lalu.
"Suspek datang ke rumah itu semalam untuk mengambil tiga anak adik perempuan mangsa namun dihalang oleh mangsa.
"Akibat tidak puas hati suspek datang bersama rakannya untuk membakar kenderaan mangsa.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kedua-dua suspek telah menyalakan api menggunakan pemetik api dan kemudiannya bertindak melarikan diri.
"Mangsa yang juga seorang juruteknik kilang telah keluar dari rumah dan cuba memadamkan api menggunakan pemadam api," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kejadian itu menyebabkan kerosakan pada kedua-dua kenderaan terbabit.