MEDIA Barat membesar-besarkan berita bahawa 23 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS) menuduh China menzalimi penduduk Islam di Xinjiang pada mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2019.
Bagaimanapun, mereka enggan memberitahu majoriti 23 negara tersebut ialah negara Barat dan sekutu Amerika Syarikat (AS) yang lazimnya tidak terdapat negara Islam mahupun negara membangun.
Media Barat tidak memberitahu anda bahawa pada mesyuarat tersebut, terdapat 66 negara lagi dalam ucapan bersama atau sendirinya memuji kemajuan China dalam bidang perlindungan hak asasi manusia serta dasar pentadbiran Xinjiang dan menentang perbuatan campur tangan dalam urusan negeri China atas nama isu hak asasi manusia.
Negara-negara tersebut meliputi Asia, Afrika dan Amerika Latin antaranya hampir 30 negara Islam termasuk Arab Saudi, Pakistan, Mesir dan sebagainya.
Laporan New York Times dan media Barat lain tentang kononnya dokumen dalaman kerajaan China penuh dengan penipuan dan kekeliruan.
Contohnya, laporan yang memfitnah kerajaan China telah melaksanakan dasar No Mercy kepada rakyat Uyghur tetapi sebenarnya dasar itu adalah untuk kumpulan pengganas.
Media Barat tidak memberitahu anda bahawa sejak tahun 2015 hingga kini, kerajaan China menerbitkan tujuh Kertas Putih untuk memperkenalkan secara terperinci tentang dasar kaum dan agama, langkah-langkah menentang keganasan dan kemajuan dalam bidang hak asasi manusia di Xinjiang.
Tujuh Kertas Putih tersebut adalah tentang kesetaraan, perpaduan dan pembangunan pelbagai kaum, kebebasan kepercayaan agama, pembangunan dan kemajuan, perlindungan dan pembangunan kebudayaan, perjuangan menentang keganasan dan ekstremisme serta perlindungan hak asasi manusia, isu-isu sejarah dan terakhir, pendidikan dan latihan vokasional.
Media Barat dengan sengaja mengabaikan laporan yang memaparkan keadaan benar dan positif tentang Xinjiang, sebaliknya berminat untuk menggembar-gemburkan berita yang memutarbelitkan fakta.
Ia membuat orang tertanya-tanya sama ada media Barat benar-benar peduli terhadap keadaan Muslim hidup di China atau mereka hanya mempergunakan isu Xinjiang sebagai senjata untuk mengutuk China.
Sejak berlakunya Peristiwa 11 September 2001, kerajaan AS memperkuatkan tindakan memerangi keganasan dan memandang diri sebagai pejuang anti-keganasan, namun apabila kegiatan keganasan berlaku di Xinjiang, AS mengatakannya sebagai permulaan gerakan demokrasi China, malah menyampaikan simpati dan memberikan dana kepada kumpulan pengganas ETIM.
Maka apakah agenda tersembunyi di belakang standard yang berbeza itu?
Ada ungkapan China menyebut, tiga orang berkata ada melihat harimau berulang kali walaupun mereka berbohong akhirnya ia akan diterima sebagai kebenaran.
Menceroboh
Bagi negara Barat yang menguasai kebanyakan media arus utama dan platform media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram adalah mudah untuk mereka menceroboh dan menyerang sebuah negara bagi tujuan politik.
Sebagai wakil negara-negara membangun, China ditindas dan dihalang dalam jalan pembangunan oleh sesetengah negara kuasa besar.
Mereka mengabaikan hakikat dan sentiasa cuba campur tangan dalam urusan dalam negeri China atas nama kaum, agama, hak asasi manusia, demokrasi dan kebebasan.
Isu Hong Kong dan isu Xinjiang dijadikan alat mereka. Berapa fakta sengaja disembunyikan dan diolah dengan mesin pendapat awam Barat? Hal itu perlu diteliti oleh para pembaca.
Sejak hujung tahun 2018, lebih 70 delegasi asing melibatkan lebih 1,000 orang telah melawat ke Xinjiang antaranya pegawai kerajaan, wartawan dan perbadanan Muslim dari Malaysia.
Mereka mengenali keadaan pembangunan ekonomi dan masyarakat Xinjiang dengan pengalaman sendiri serta mengunjungi Pusat Latihan Keterampilan dan Pendidikan Vokasional.
Sesetengah delegasi asing berkata, pada masa dulu mereka mengenali Xinjiang daripada laporan media dan selepas melawat ke Xinjiang, baru mereka tahu keadaan sebenar tidak sama sekali seperti laporan media Barat.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam laporan Sinar Harian berkata, masyarakat Xinjiang sangat memelihara budaya, tradisi dan adat resam warisan etnik-etnik Uyghur, Kazakh, Hui dan lain-lain.
Masyarakat setempat prihatin terhadap kehidupan golongan minoriti Muslim di negara China. Etnik-etnik tersebut mempunyai jalinan hidup yang utuh dan saling membantu antara satu sama lain.
Wartawan dari Indonesia seperti Metro TV, Media Indonesia dan lain-lain melaporkan Xinjiang mengutamakan pendidikan agama serta tenaga pengajarnya.
Pastinya China bukan sebuah negara yang menentang agama Islam. Tindakan-tindakan kerajaan Xinjiang untuk mencegah dan memerangi jenayah keganasan harus disokong.
Bak kata pepatah China, desas-desus dihentikan oleh Si Bijak. Semakin ramai orang bersetuju dengan dasar kaum dan agama China yang bertepatan dengan keadaan tempatan di samping menyokong usaha China untuk mencegah dan memerangi ekstremisme dan keganasan.
Pada masa depan, kami akan menjemput lebih ramai kawan dari luar negara termasuk Malaysia untuk mengunjungi Xinjiang.
Semoga anda melawat ke Xinjiang dan melihat usaha kerajaan China untuk mengekalkan keamanan, keharmonian, kestabilan dan pembangunan Xinjiang.
Semoga anda dapati hakikat yang mana media Barat enggan memberitahu anda.
* Bai Tian ialah Duta Besar China ke Malaysia