KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menaruh kepercayaan kepada ahli lembaga pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan penggunaan pinjaman pertama RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Negara, Tommy Thomas membalas dengan memberi cadangan KWAP sekali lagi meluluskan pinjaman kedua kerana jaminan kerajaan.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pekan itu menjawab tidak bersetuju.
Tommy: Selepas cadangan pinjaman kedua dibuat, adakah Datuk Seri bertanya apa yang berlaku kepada pinjaman pertama?
Najib: Saya tanya dan mereka kata wang itu untuk pelaburan.
Tommy: Ada Datuk Seri tanya di mana wang itu disimpan?
Najib: Saya ada bertanya kepada mereka.
Tommy: Pelik, jika mereka memberitahu di mana wang itu, Datuk Seri mesti dapatkan maklumat lebih terperinci.
Najib: Tidak, saya tidak bertanya.
Tommy: Wang itu masih ada dengan mereka?
Najib: Saya tidak tahu.
Tommy: Tidak masuk akal, Datuk Seri tidak bertanya mengenai wang itu atau mana ia disimpan.
Najib berkata, beliau menaruh kepercayaan kepada barisan lembaga pengarah atas faktor tanggungjawab ‘fiduciary’.
Untuk rekod Tommy berkata, wang berkenaan diletakkan di Falcon Private Bank, Switzerland dan Julius Baer Bank, Hong Kong.
Bagaimanapun Najib membalas dengan berkata, ia bukan bergantung kepada keputusannya sebaliknya membabitkan lembaga pengarah.
Malah Najib berkata, beliau tidak menandatangani sebarang permohonan membabitkan perkara tersebut.
Katanya, ada kes pemalsuan tandatangan dilaporkan sebelum ini.
Pada 11 November lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.