PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan hasil laporan pasukan petugas khas yang menyiasat kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan pastor, Raymond Koh Keng Joo apabila ia diserahkan.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Enam bulan sediakan syor kehilangan Raymond Koh, Amri
Kes Raymond Koh, Amri: PDRM beri kerjasama penuh
Pada 26 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan barisan ahli pasukan petugas khas yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda.
Pasukan itu akan memfokuskan dakwaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa kehilangan Amri dan Raymond adalah disebabkan penglibatan Cawangan Khas PDRM.
Pada 3 April lalu, Suhakam membuat kesimpulan bahawa Cawangan Khas PDRM bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan Amri dan Raymond.
Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.
Rakaman menunjukkan ia dipercayai satu rancangan rapi membabitkan lebih daripada 10 lelaki dan tujuh kenderaan.
Dalam pada itu, Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.
Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin dilapor berkata, ada saksi ternampak lima kenderaan menghalang laluan kereta Amri sebelum dia dibawa pergi kira-kira 550 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.
Isteri Raymond, Susanna Koh dan Norhayati menggesa Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam kes kehilangan suami masing-masing.
Sementara itu, mengulas mengenai penahanan 680 warga China yang disyaki terlibat dalam jenayah siber, Muhyiddin melahirkan kebimbangannya.
"Ia seolah-olah ada kecenderungan warga China seperti ini datang ke Malaysia dan gunakan negara ini sebagai pangkalan untuk jenayah siber dan penipuan dalam talian atau judi haram," katanya.
Menurutnya, KDN memandang serius perkara tersebut.
"Kalau ada bukti mereka sudah pindah randah dan disebabkan itu satu kesalahan kita akan ambil tindakan juga," katanya.
Sebelum ini, Jabatan Imigresen melakukan serbuan di bangunan enam tingkat di Cyberjaya menahan 680 warga China.
Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen untuk siasatan lanjut.