LONDON - Pemimpin parti politik Britain meneruskan kempen sehingga ke saat terakhir beberapa jam sebelum Pilihan Raya Umum diadakan esok.
Pemilihan esok diadakan untuk memecahkan kebuntuan Brexit yang telah mencengkam Britain sejak pungutan suara pada 2016 untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Iklan
Iklan
Selepas bergelut untuk menerajui pentadbiran minoriti, Perdana Menteri dan pemimpin Parti Konservatif, Boris Johnson berharap menang kerajaan majoriti yang akan membolehkan beliau membawa Britain keluar dari blok itu pada 31 Januari depan.
Parti pimpinan Johnson dan Parti Buruh diketuai Jeremy Corbyn secara konsisten telah mendahului tinjauan pendapat namun kaji selidik terakhir yang dilakukan YouGov meramalkan kedua-dua ahli politik itu bakal menang dengan majoriti tipis.
Pusat undian akan dibuka pada jam 7 pagi (waktu tempatan) dan ditutup pada jam 10 malam.
Dalam pada itu, pound Britain dilaporkan merosot awal hari ini selepas tinjauan menunjukkan Johnson mendahului dengan pilihan raya berkenaan.
Sterling merosot 0.25 peratus kepada AS$1.3122 (RM5.46) selepas mencecah paras tertinggi lebih lapan bulan pada AS$1.3215 (RM5.50) pada Selasa. - Agensi