APMM bantu kesan empat warga Indonesia hilang ketika belayar

Iklan
Bot kargo yang dinaiki empat warga Indonesia yang dilaporkan hilang ketika dalam pelayaran merentas perairan negara ini sejak Isnin lalu.

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor berjaya membantu mengesan empat warga Indonesia yang dilaporkan hilang ketika dalam pelayaran merentas perairan negara ini sejak Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa merupakan nakhoda dan kru bagi sebuah bot kargo yang dijadualkan berlepas dari Dumai, Indonesia menuju Muar kira-kira jam 3 petang, Isnin lalu sebelum gagal dikesan beberapa jam selepas itu.

Iklan
Iklan

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot kargo dengan tanda nama KM Bahari Indah 5 yang berdaftar di Indonesia itu kemudiannya telah diaktifkan pada jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, operasi turut membabitkan kerjasama Badan SAR Nasional Indonesia, Pekan Baru (Basarnas), Jabatan Laut Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan

"Berdasarkan maklumat diperoleh daripada sebuah lagi bot kargo yang berlayar bersama KM Bahari Indah 5, kedua-dua bot kargo ini telah keluar beriringan berlayar dari Dumai, Indonesia kira-kira jam 6 pagi (waktu Malaysia) 9 Disember lalu.

"Bagaimanapun, KM Bahari Indah 5 terputus hubungan kira- kira jam 3 petang setelah mengharungi ombak besar dan cuaca buruk ketika pelayaran di kedudukan lebih kurang 29 batu nautika barat daya Muar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Aminuddin berkata, APMM kemudiannya telah menggerakkan aset dari Zon Maritim Batu Pahat untuk melaksanakan operasi pencarian di sekitar laluan bot kargo berkenaan.

"Selain itu, pencarian juga turut menggunakan Sistem Pengawasan Laut iaitu radar yang ditempatkan di Area Control Centre (ACC Klang) bagi menjejaki kedudukan terakhir bot kargo tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada jam 6 petang semalam, APMM telah menerima panggilan dari Basarnas Pekan Baru yang memaklumkan kesemua empat warga Indonesia berusia 34 hingga 54 tahun itu telah ditemui selamat.

"Mereka ini ditemui kru sebuah kapal dagang dengan tanda nama MT Sinar Marsela di kedudukan sekitar 5.3 batu nautika Timur Pulau Rupat, Indonesia.

"Hasil siasatan mendapati bot KM Bahari Indah 5 telah karam akibat cuaca buruk,” katanya.

Katanya, SAR kemudiannya ditamatkan pada jam 7.10 malam semalam.