ALOR SETAR - Mayat dua adik beradik ditemukan terapung selepas enam hari dilaporkan hilang selepas keluar ke laut di kawasan Tuas Selatan, Yan pada Jumaat lepas.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, mayat mangsa Ng Gua Xian,44, dan Ng Gou Tong, 34, ditemui pada jam 2.45 petang pada jarak 15 batu nautika dari lokasi terakhir bot tersebut dilihat.
Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa ditemui terapung oleh sebuah bot nelayan yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.
"Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 8.30 malam tadi.
"Mayat kedua mangsa kemudiannya dibawa polis untuk dihantar ke Hospital Daerah Yan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari keempat itu melibatkan pelbagai agensi antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia.
Beliau berkata, seramai 20 nelayan setempat bersama tiga bot nelayan turut membantu dalam usaha mencari nelayan yang dilaporkan hilang.
Katanya, APMM selaku agensi yang mengkordinasi operasi mencari dan menyelamat di laut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan komuniti nelayan yang terlibat.