MSN bertanggungjawab sepenuhnya pencapaian skuad negara di Sukan SEA

Iklan
Ahmad Shapawi ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media berkenaan laporan prestasi Kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Filipina 2019 di Pusat Media Sukan SEA 2019, Asean Convention Center, hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib. - Foto: Bernama

NEW CLARK CITY - Majlis Sukan Negara (MSN) bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan atlet negara mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA Ke-30, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Pihak MSN mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan kontinjen kita pada kali ini,” katanya pada sidang media mengenai prestasi atlet Malaysia pada Sukan SEA 2019 di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Prestasi sukan yang disasarkan untuk menyumbang pingat emas kepada Kontinjen Malaysia pada Sukan SEA di Filipina juga adalah mengecewakan.

Beliau mendedahkan hanya 18 daripada 26 jenis sukan yang disasarkan untuk memenangi emas, berjaya menyumbang kutipan 50 emas kepada kontinjen negara pada temasya sukan dwitahunan itu kali ini.

Iklan

"Kegagalan beberapa sukan seperti pelayaran, memanah, tenpin boling, luncur ais dan sukan berhalangan meraih emas, telah menjejaskan kutipan keseluruhan pingat emas kontinjen negara," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi memuji beberapa sukan yang mempamerkan aksi memberangsangkan dengan menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara pada kali ini.

Iklan

Sukan-sukan berkenaan adalah gimnastik artistik dan berirama yang menjadi penyumbang tertinggi dengan kutipan sembilan emas, olahraga (lima emas), terjun, karate dan boling padang (masing-masing empat emas), badminton (tiga emas), selain e-sukan yang menyumbang satu emas dalam permainan ‘Hearthstone’ walaupun membuat penampilan sulung pada Sukan SEA kali ini,

Beliau mengakui empat jenis sukan yang kurang diberi perhatian, iaitu snuker dan billiard, dancesport, catur, papan selaju telah menyumbang satu emas, selain wushu dengan kutipan dua emas walaupun tidak disenaraikan dalam sasaran awal kontinjen negara.

"Sebanyak enam pingat emas telah diperoleh dari sukan-sukan yang tidak ditetapkan sasaran awal. Kemampuan sukan-sukan ini untuk menyumbang pingat emas adalah membanggakan kontinjen negara,” katanya,

Pada masa sama, Ahmad Shapawi memuji prestasi luar biasa yang ditampilkan beberapa atlet negara pada kali ini, termasuk Muhammad Haiqal Hanafi, Andre Anura Anuar, Farah Ann Abdul Hadi dan Loh Choon How yang menjadi antara penyumbang kutipan emas tertinggi untuk kontinjen negara.

Muhammad Haiqal ditabalkan selaku Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu selepas mengungguli acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.35 saat, manakala Andre Anura pula mencatat rekod baharu kebangsaan acara lompat jauh dengan catatan 8.02 meter, sekaligus memadam rekod terdahulu, 7.88 meter yang dilakar Josbert Tinus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand.

Farah Ann pula menepati status beliau selaku ratu gimnastik Asia Tenggara selepas memperolehi tiga emas dalam gimnastik artistik, manakala Loh membawa pulang dua emas dalam acara wushu walaupun tidak diletakkan sebagai sasaran emas.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shapawi berkata, tumpuan akan terus diberikan untuk memperkasakan program pembangunan atlet pelapis menerusi sistem latihan yang lebih sistematik untuk persiapan jangka panjang menghadapi beberapa temasya sukan pada masa akan datang.

"Oleh itu, pengurusan MSN akan mempergiatkan program pelapis di pelbagai peringkat dan semua persatuan sukan yang terlibat, diminta untuk merangka program latihan yang lebih baik dan berstruktur,” kata Ahmad Shapawi.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Timbalannya, Nurul Huda Abdullah, serta Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

Malaysia sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 56 emas, 58 perak dan 72 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan.

Tuan rumah, Filipina muncul juara buat kali kedua selepas edisi 2005 di Manila setelah mengumpul 149 pingat emas, 117 perak dan 121 gangsa, diikuti Vietnam (98-85-105), manakala Thailand menduduki tangga ketiga (92-103-123).

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 773 atlet dan 339 pegawai menyertai 52 daripada 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 Nov, melabuhkan tirai dengan upacara penutupan rasmi di Stadium Olahraga New Clark City malam ini.

Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021. - Bernama