SEBERANG JAYA - Rangkaian restoran nasi kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) di seluruh negara akan menghentikan penjualan rokok menjelang hujung tahun ini.
Ia bagi menyokong hasrat kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di restoran dan kedai makan mulai awal tahun ini untuk menjadikan rakyat di Malaysia sebagai masyarakat maju yang penuh bertamadun menjelang 2020.
Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk KK Sihabutheen berkata, walaupun beberapa pihak termasuk persatuan pengusaha restoran sebelum ini mendesak kerajaan menarik balik larangan merokok di restoran namun pihaknya mengambil positif pendekatan dilaksanakan kerajaan.
Bagaimanapun, menurutnya Pelita memerlukan sedikit masa untuk melaksanakannya memandangkan notis penguatkuasaan larangan merokok yang dibuat kerajaan berlaku dalam tempoh masa singkat.
"Buat masa ini, kami terikat dengan kontrak bersama pihak pembekal rokok namun kita akan pastikan semua kaunter jualan akan dikeluarkan secara berperingkat hingga akhir tahun ini," katanya pada sidang media, semalam.
Sihabutheen berkata, pihaknya yakin langkah berkenaan akan disokong oleh ramai pelanggan yang semakin selesa dengan restoran bebas asap rokok.
Pada Disember lalu, kerajaan mengisytiharkan restoran dan kedai makan sebagai kawasan larangan merokok selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.
Dalam pada itu, Sihabutheen sekali lagi menegaskan kesemua rangkaian restoran nasi kandar Pelita milik syarikat itu adalah halal dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, syarikat itu juga merupakan satu-satunya yang memiliki sijil halal Jakim untuk kesemua restoran nasi kandar mereka di seluruh negara sejak 2012.