SINGAPURA - Jika karya seni pisang dilekatkan pada dinding boleh dijual pada harga AS$120,000 (RM499,752), bagaimana dengan durian?
Pertubuhan tempatan di Singapura saling bertanyakan tentang perkara itu di media sosial masing-masing selepas seorang pengumpul warga Perancis membeli karya seni pisang tersebut yang kemudiannya dimakan oleh seorang artis lain pada Sabtu lalu.
Difahamkan, karya seni pisang digelar Comedia itu adalah hasil cetusan idea artis dari Perancis, Maurizio Cattelan dan dipamerkan di Art Basel di Miami Beach, Florida.
Isnin lalu, satu lagi karya seni digelar Durian Tape to White Wall berharga S$163,056 (RM499,531) dipamerkan di kedai durian dan pencuci mulut, 99 Old Trees.
Durian Mao Shan Wang seberat 2.15 kilogram itu dijangka 'rosak' dalam tempoh tiga hari.
99 Old Trees menerusi kapsyen pada gambar yang dimuat naik di Facebook menyatakan,"Ia kelihatan seperti seni, berbau seperti kentut. Hasil seni ini adalah untuk memperingati susah payah nenek moyang kita. Pita pelekat itu menjadi simbol penindasan ketika zaman penjajahan sebelum ini".
"Ada individu membuat tawaran, namun kami sangka mereka hanya bergurau," kata pengurusnya, Kelvin Tan.
Ketika ditanya The Straits Times sama ada jika ada orang membuka dan memakan durian itu sebagai satu bentuk seni seperti dilakukan artis, David Datuna kepada hasil karya seni pisang Cattelan, Kelvin berkata, dia tidak kisah dan berita buruknya adalah pita pelekat itu tidak cukup kuat untuk menampung buah durian tersebut dan ia telah terjatuh.
Menurutnya, Durian Tape to White Wall itu telah dijual pada harga jauh lebih murah daripada yang ditawarkan. - Agensi