LONDON - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan pertemuan dengan Archbishop of Canterbury, Justin Welby di kediaman rasminya di Istana Lambeth di sini pada Rabu.
Pertemuan selama setengah jam itu antara lain adalah untuk bertukar-tukar pandangan berhubung masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia dan United Kingdom (UK).
Seri Paduka kemudiannya dibawa melawat ke dalam istana itu termasuk Great Hall yang merupakan Perpustakaan Istana Lambeth dan Guard Room, tempat tentera berkumpul dan menyimpan senjata mereka pada satu ketika dahulu semasa Archbishop memiliki tentera peribadi sendiri.
Archbishop of Canterbury ialah pemimpin utama Gereja England.
Perpustakaan Istana Lambeth menempatkan koleksi terbesar buku agama Kristian di luar Vatican.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang dalam rangka lawatan khas di UK sehingga 16 Disember.
Seri Paduka berdua dijadual menghadiri majlis santapan tengah hari yang akan dihoskan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada Khamis.
Lawatan khas ke UK merupakan lawatan keempat oleh Al-Sultan Abdullah selepas lawatan khas Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lepas sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari. - Bernama