SHAH ALAM - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah boleh dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong meskipun baginda dalam keadaan gering.
Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, tugas sebagai ketua negara itu boleh dijalankan oleh pemangkunya, Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Namun katanya, semua keputusan tertakluk kepada budi bicara Majlis Raja-raja.
"Sekiranya Sultan Pahang diberi peraturan biasa iaitu gilirannya menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun baginda gering tapi boleh dilantik sekiranya dibenarkan Majlis Raja-raja dan baginda berminat.
"Walau baginda gering pun, pemangkunya boleh melaksanakan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong. Jadi saya rasa masih boleh ikut sistem giliran cuma soalnya sekarang, apakah itu dibenarkan Majlis Raja-raja?,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengikut Seksyen 1 Bahagian I Jadual Ketiga Perlembagaan syarat seseorang raja akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah dewasa, tidak menolak untuk dipilih dan tidak ditolak oleh Majlis Raja-raja.
Menurutnya, sekiranya Sultan Pahang menolak untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, giliran seterusnya ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pergiliran negeri dalam pusingan pertama Yang di-Pertuan Agong telah selesai sebelum ini dengan urutan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, Perak.
Dalam pusingan kedua masih berbaki tiga negeri yang masih belum dipilih iaitu Pahang, Johor dan Perak.
Dalam pada itu, Ramlah berpendapat Majlis Raja-raja akan sedaya upaya mengikut sistem giliran tersebut supaya tidak menyinggung mana-mana pihak.
"Kalau mengikut sistem dulu-dulu kita gunakan sistem giliran yang diikuti dengan undi sulit. Pusingan pertama sudah tamat, sekarang pusing kedua jadi.
"Kalau Sultan Pahang tidak mahu jadi Yang di-Pertuan Agong barulah giliran itu turun kepada Sultan Johor.
"Saya rasa Majlis Raja-raja akan sedayanya mengikut giliran sebab ini satu perkara yang mereka tidak mahu singgung. Maksudnya, mereka tidak akan membuat keputusan sebarangan,” katanya.