SEMPORNA - Balai Bomba dan Penyelamat atas air pertama Malaysia yang terletak di daerah ini beroperasi mulai hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, pewujudan balai atas air itu akan mempercepatkan respons anggota terhadap kejadian kebakaran serta kecemasan lain.
"Jika respons dari darat (Balai Bomba) ambil masa turunkan bot dan sebagainya bila ada balai atas air, respons akan lebih cepat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis apresiasi bomba bersama media peringkat zon Tawau di sini.
Dalam pada itu Kamarulzaman berkata, balai atas air yang dibina dengan peruntukan RM200,000 berkenaan dilengkapkan dengan tiga bot iaitu bot bavi memadam kebakaran, bot untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta bot EMRS.
"Turut ditempatkan seorang ketua balai serta tiga anggota penyelia selain 20 anggota dari pasukan bomba bantuan (PBB)," katanya lagi.
Menurutnya, 20 anggota PBB itu merupakan penduduk setempat dan mendapat latihan kebombaan selama lima bulan.
"Anggota PBB ini mempunyai pengetahuan tentang kawasan air dan mereka cuma respon di air," katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapan, Kamarulzaman berkata, balai atas air itu akan menjadi contoh, selain penentukuran kepada negeri lain.
Katanya, balai seumpama itu akan ditambah dan dibina di kawasan berisiko tinggi atas air.
"Kami akan usahakan (pembinaan) satu balai lagi, mungkin di bahagian utara pantai timur Sabah," katanya.
Mengenai majlis itu, beliau berharap bomba dan media dapat terus bekerjasama dalam melaporkan berita tepat untuk masyarakat. - Bernama