KOTA TINGGI - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia dan SK Mawai yang masih menempatkan 70 mangsa banjir dari enam buah kampung pagi tadi, ditutup kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi, dua PPS tersebut dibuka bagi menempatkan mangsa banjir sejak bencana banjir melanda daerah ini Ahad lalu.
Iklan
Iklan
Mengikut laporan jam 8 pagi tadi, PPS SK Teluk Ramunia menempatkan 46 mangsa banjir daripada 13 buah keluarga melibatkan penduduk dari Kampung Baharu, Kampung Changi dan Kampung Jumis Bukit.
PPS SK Mawai pula menempatkan 24 mangsa daripada lapan keluarga melibatkan penduduk dari Kampung Mawai Lama, Kampung Mawai Baru dan Kampung Haji Mohd Jambi.
Sementara itu, tiga PPS ditutup lebih awal semalam melibatkan PPS di Kolej Vokasional Kota Tinggi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota dan Dewan Seri Teratai Batu 4.