KUANTAN - Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan 11 individu disyaki menjalankan aktiviti pembalakan secara haram di Hutan Simpan Remen Chereh Tambahan Sungai Lembing di sini Ahad lalu.
Semua lelaki berusia antara 33 hingga 66 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam ketika berada di rumah kongsi yang terletak dalam kawasan hutan simpan tersebut.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Nor Azirim Ahmad berkata, susulan operasi itu, pihaknya menyita kayu balak jenis kempas, meranti dan kelat bernilai lebih RM100,000.
Menurutnya, turut disita beberapa jentera termasuk dua kenderaan pacuan empat roda, tiga lori, lima jengkaut dan tujuh jentolak bernilai lebih RM1.5 juta yang berada dalam kawasan hutan simpan terbabit.
"Pihak bahagian penguat kuasa JPNP juga merampas lima unit mesin memotong kayu dan menyita rumah kongsi termasuk pelbagai peralatan lain.
"Siasatan awal mendapati, semua pekerja terbabit berada dalam kawasan hutan terbabit pertengahan bulan lalu,” katanya.
Nor Azirim berkata, salah seorang individu dipercayai dalang utama aktiviti pembalakan haram terbabit mendakwa mereka sudah memohon lesen pembalakan di kawasan itu, namun belum mendapat sebarang kelulusan.
"Pihak kami sedang menyiasat terhadap dakwaan individu terbabit yang mendakwa sudah membuat permohonan lesen pembalakan beberapa bulan lalu.
"Walaupun jika benar ada membuat permohonan, mereka tidak boleh melakukan sebarang aktiviti pembalakan dan berada dalam kawasan hutan simpan terbabit sebelum kelulusan lesen dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan jumlah jentera digunakan, pihaknya tidak menolak kegiatan itu cukup terancang dan mereka berani menjalankan kerja-kerja pembalakan walaupun tanpa lesen.
Katanya, pihak jabatan tidak akan berkompromi dengan mereka yang didapati menjalankan aktiviti pembalakan haram, sebaliknya tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil.
"Dalam kes ini, individu yang ditahan didapati melakukan beberapa kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara (APB) 1984 termasuk menebang balak tanpa lesen, berada dalam hutan simpan tanpa permit dan merosakkan hutan," katanya.