PENYERANG Manchester City, Gabriel Jesus membalas kepercayaan diberikan pengendali pasukan, Pep Guardiola yang menurunkannya pada aksi terakhir Kumpulan C saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Ketiadaan Sergio Aguero akibat kecederaan memberi ruang kepada Jesus menampilkan aksi memukau menjaringkan hatrik ketika membenam Dinamo Zagreb 4-1 di Stadium Maksimir.
Pemain kelahiran Brazil itu setakat ini telah menjaringkan lima gol dan satu bantuan dalam lima penampilan terakhir selaku pemain utama.
Beliau berharap dapat mengekalkan prestasi sekarang bagi membantu City meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.
"Sekarang saya mula menjaringkan gol dan berharap ia kekal konsisten. Saya tidak boleh berpuas hati dengan prestasi sekarang dan akan membuat yang terbaik untuk menghasilkan lebih banyak gol.
"Kepercayaan diberikan oleh Guardiola kepada saya akan dilaksanakan sebaik mungkin. Tugas saya ialah mencetak gol dan membantu pasukan.
"Bulan lalu, saya tidak menghasilkan sebarang gol dan ia bukan sesuatu yang bagus untuk rakan serta pasukan. Jaringan ini satu motovasi," katanya.
Pada pertembungan tersebut, City ketinggalan seawal minit ke 10 hasil jaringan pemain tengan Dinamo Zagreb, Daniel Olmo sebelum bangkit menjaringkan gol penyamaan sebelum rehat separuh masa pertama.
Kelab daripada England itu menguasai permainan dengan lapan percubaan tepat yang turut menyaksikan gol keempat dihasilkan pemain tengahnya, Phil Foden terhasil pada minit ke 84.
Kemenangan itu menyaksikan City menjadi juara kumpulan dengan 14 mata sekaligus layak ke pusingan 16 pasukan terakhir UCL.