Pro98 Reformis Pulau Pinang mahu Anwar selesai masalah dalaman PKR

Iklan
Maktar (dua dari kanan) dan Amir (tiga dari kanan) pada sidang media di Yayasan Aman pagi tadi.

PERMATANG PAUH - Aktivis Pro98 Reformis Pulau Pinang menggesa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menangani perbalahan dalaman parti itu dengan bijaksana dan berhemah demi masa depan parti itu.

Pengerusinya, Datuk Maktar Shapee berkata, apa yang berlaku dalam parti pada masa ini perlu diselesaikan seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, umum mengetahui PKR sebuah parti dihormati kerana prinsipnya mengutamakan nilai akhlak, berintegriti dan disiplin.

Namun katanya, dengan insiden yang berlaku pada Kongres Nasional PKR ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) minggu lalu ia sedikit menjejaskan imej parti.

Iklan

"MPP harus bertindak terhadap anggota yang tidak berdisiplin melalui Lembaga Disiplin Parti Peringkat Pusat dan Negeri.

"Langkah itu dapat menyedarkan kembali anggota supaya sentiasa seiring dengan aspirasi parti," katanya pada sidang media di Yayasan Aman pagi tadi.

Iklan

Dalam pada itu, Maktar berkata, pihaknya juga menyokong ketegasan presiden terhadap salahlaku dan penyalahgunaan kuasa pimpinan parti.

Maktar bersama 100 ahlinya hadir pada sidang media itu bagi menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian dan gesaan presiden seperti yang dinyatakan dalam kongres sebelum ini.

Beliau berkata, gesaan itu memberi petunjuk jelas bahawa negara sedang menuju era pemulihan dari sistem kerajaan lama yang pincang kepada sistem demokrasi kenegaraan.

Katanya, ketika ini negara amat memerlukan kepimpinan yang berani dan berjiwa rakyat serta sanggup mengharungi saat-saat derita bersama mereka.

Sementara itu, Setiausaha Pro 98 Reformis negeri, Amir Ghazali menggesa Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Mohamed Hanif Khatri Abdullah menghentikan ‘gutter’ politik atau melepaskan jawatannya dalam PERDA berikutan gagal memahami peranannya di dalam agensi berkenaan.

Menurutnya, sebagai seorang yang profesional seharusnya beliau memahami tugasan dan tanggungjawab selaku Pengerusi PERDA yang perlu mengembalikan imej serta kredibiliti agensi itu yang terpalit dengan pelbagai isu dan skandal ketika zaman Barisan Nasional (BN).

"Ia amat mendukacitakan apabila beliau dilihat sengaja melibatkan diri dalam mainan politik kotor terhadap tokoh reformasi dengan tanpa segan silu mewakili peguam Yusoff Rawther,” katanya.