ALOR SETAR - Lebih 2,000 bekas banduan ditawarkan peluang pekerjaan menerusi Projek Reben Kuning selepas diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia pada Oktober tahun lalu.
Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, dengan kejayaan itu, pihaknya akan memperluaskan lagi projek tersebut dalam usaha untuk memberi ruang kepada lebih ramai bekas banduan mendapatkan pekerjaan.
Menurutnya, kebanyakan mereka kini bekerja di sektor pembinaan, perladangan, pembuatan dan juga perkilangan.
"Lebih 2,000 daripada mereka yang mendapat peluang pekerjaan ini adalah orang di parol (ODP) manakala lebih 100 orang diselia (ODS).
"Selepas ini kita akan memperluaskan lagi projek ini dengan memberi lebih banyak peluang terutama membabitkan bekas banduan belia," katanya kepada media selepas merasmikan Kuarters Kakitangan Penjara Alor Setar hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang perkembangan Projek Reben Kuning yang diperkenalkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
KBS pada Oktober tahun lalu memperkenalkan projek itu bagi memberikan peluang kedua untuk bekas banduan yang terdiri daripada belia dan mereka dari sekolah pemulihan akhlak untuk diterima kembali ke pangkuan masyarakat.
Inisiatif dengan kerjasama Jabatan Penjara dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) juga bertujuan memberikan ruang kepada golongan tersebut untuk mendapat peluang pekerjaan, pendidikan dan hidup bersama masyarakat tanpa diskriminasi.