PETALING JAYA - Golongan berpendapatan tinggi dilihat tidak berpuas hati dengan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai prestasi ekonomi.
Menurut kaji selidik oleh Emir Research, seramai 49 peratus responden yang berpendapatan RM5,000 ke atas tidak berpuas hati dengan kerajaan PH dalam menstabilkan harga barangan keperluan asas manakala 33 peratus berkata mereka berpuas hati.
Golongan ini juga tidak kagum dengan usaha kerajaan PH dalam menangani masalah kejatuhan ringgit (48 peratus), perkhidmatan kesihatan (43 peratus) dan menangani monopoli syarikat-syarikat besar (41 peratus).
Sebaliknya, mereka yang berpendapatan sederhana dilihat berpuas hati, manakala golongan berpendapatan rendah tidak berpuas hati.
"Golongan yang berpendapatan tinggi dilihat kurang berpuas hati dengan kerajaan,” kata fellow Emir Research, Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.
Bagaimanapun katanya, kumpulan itu lebih berpuas hati dengan prestasi PH dalam sektor kesihatan dan pengangkutan.
Kajian itu juga mengesahkan bahawa orang Melayu dan Bumiputera adalah yang tidak berpuas hati (42 peratus) terhadap kerajaan PH dalam menstabilkan harga barangan keperluan asas, berbanding India (28 peratus) dan Cina (26 peratus).
Badan pemikir itu mendedahkan Pakatan Harapan memperoleh 53 peratus skor dalam Indeks Kepuasan Kerajaan (GSI).
Menerusi kaji selidik yang bertajuk ‘Dari Akar Umni: Suara dan Harapan Rakyat berkenaan Isu Sosioekonomi’ yang dikeluarkan semalam membabitkan 1992 responden melibatkan 65.6 peratus kaum Melayu dan Bumiputera, Cina (28.2 peratus) dan India (6.2 peratus).
Kajian berkenaan diadakan dari 5 September hingga 10 Oktober 2019 di 222 kawasan Parlimen dengan margin kesilapan dianggarkan tiga peratus.
Kajian itu diketuai oleh Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mohamad Sahari Nordin.