AMPANG - Empat lelaki termasuk dua beradik dijatuhi penjara antara lapan hingga 16 tahun dengan satu hingga empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan merogol seorang wanita secara berkumpulan tahun lalu.
Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zulhusni Shoeb, 23; Nurluqman Hanif Norhisam, 22; Muhammad Amer Redzuan Mohd Tahir, 19 dan Nurluqman Danial Norhisam, 20, setelah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zulhusni dan Nurluqman Hanif dihukum penjara 16 tahun manakala Muhammad Amer dipenjara selama 14 tahun.
Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.
Mereka juga berdepan dua lagi hukuman mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan 377 C Kanun Keseksaan Akta yang sama.
Mohd Zulhusni dan Nurluqman Hanif dipenjara 12 tahun dengan dua sebatan serta 10 tahun dengan dua sebatan manakala Nurluqman Hanif dihukum masing-masing 12 tahun dengan satu sebatan serta 10 tahun dengan dua sebatan.
Sementara tertuduh keempat, Nurluqman Danial dihukum lapan tahun dan satu sebatan atas kesalahan di bawah Seksyen 377 C Kanun Keseksaan Akta yang sama kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa iaitu melakukan persetubuhan bertentangan dengan tabii tanpa kerelaan.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pandan Ria 2 di sini pada 28 Februari 2018 antara jam 9 hingga 11 malam.
Mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap.
Suzana berkata, setelah mahkamah meneliti kenyataan mangsa, saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah menilai kembali semua keterangan secara maksima.
Katanya, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan dalam kesemua pertuduhan oleh keempat-empat tertuduh.
"Kamu amat muda, saya tak sampai hati untuk menjatuhkan hukuman tetapi apa yang kamu buat ini kejam.
"Saya harap hukuman itu akan memberi pengajaran kepada kamu,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala tertuduh diwakili peguam.