SHAH ALAM - Peserta program Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi membuat persediaan yang mencukupi dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi pertandingan yang akan berlangsung pada Ahad nanti.
Wakil kumpulan Raya FC, Fadhlulhadi Razak berkata, pertandingan itu memerlukan latihan yang secukupnya untuk bersaing dengan peserta lain.
"Kami membuat latihan pada waktu malam sahaja kerana kesibukan bekerja.
"Latihan yang sering kami lakukan ialah bermain futsal dan bola sepak untuk meningkatkan tahap stamina supaya kami mampu bersaing dengan kumpulan lain," katanya ketika ditemui pada sesi cabutan undian untuk perlawanan Ahad nanti.
Fadhlulhadi berkata, keinginannya untuk menyertai pertandingan tersebut disebabkan pasukan Raya FC telah kalah di peringkat separuh akhir liga bola sepak Putrajaya 2019 baru-baru ini.
"Pasukan kami baru habis liga bola sepak Putrajaya 2019 yang hanya sampai di separuh akhir sahaja. Pada pertandingan kali ini, saya mahu menebus kekalahan dahulu," katanya.
"Kami akan buat sehabis baik pada penyertaan kali ini," katanya.
Sementara itu, peserta kategori bola keranjang, Mike Yap Chee Houk dari kumpulan S.S.C Twenty Three berkata, kumpulannya membuat latihan selepas habis waktu bekerja.
"Kami melakukan latihan dari jam 6 hingga 9 malam lepas habis waktu bekerja.
"Untuk menghadapi pertandingan ini, kami akan membuat latihan sebanyak tiga kali seminggu," katanya.
Katanya, penyertaannya dalam program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara rakan-rakan melalui aktiviti sukan bola keranjang.
"Saya dan rakan-rakan jarang berhubung disebabkan masing-masing sibuk bekerja. Dengan adanya program ini kami dapat meluangkan masa untuk sukan yang kami minati bersama," katanya.
Katanya, dia berharap penyertaan kumpulannya dalam program berkenaan dapat membuahkan hasil dengan memperoleh kemenangan.
"Saya dan pasukan akan melakukan yang terbaik untuk muncul juara," katanya.