Emir Qatar puji Malaysia anjur Sidang Kemuncak KL

Iklan
Dr Mahathir (kiri) ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar bersempena dengan lawatan rasmi empat hari beliau di Qatar di Amiri Diwan. - Foto Bernama

DOHA - [DIKEMASKINI] Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani memuji Malaysia yang menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu dinyatakan ketika beliau menghadap dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar di Amiri Diwan di sini semalam.

Iklan
Iklan

Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Negara Qatar. Ia adalah badan berdaulat dan pejabat pentadbiran Emir Qatar.

"Pada pertemuan dengan Emir Qatar, kebanyakan perbincangan tertumpu kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Iklan

"Saya fikir Emir akan datang (ke sidang kemuncak itu), dan memberi banyak sumbangan (idea) melihat kepada cara baginda mentadbir Qatar lebih menumpukan soal pelajaran,” katanya kepada media Malaysia selepas Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia di Qatar di sini malam tadi.

Sidang kemuncak itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 18 hingga 21 Disember itu antara lain akan mencari jalan penyelesaian baharu terhadap masalah menimpa dunia Islam dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara-negara Islam.

Iklan

Ia juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia serta menghidupkan semula peradaban Islam.

Dr Mahathir ialah pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Selain Emir Qatar, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani dijangka menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Ditanya mengenai mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri Qatar semalam, Dr Mahathir yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke negara ini bermula Rabu lalu berkata, pemain industri terkemuka Qatar berminat untuk melabur di Malaysia.

"Mereka juga mahu rakyat Malaysia datang ke sini untuk melabur dan menjalin perkongsian dengan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Mahathir turut tertarik dengan cara Qatar mengatasi masalah setelah dikenakan sekatan ekonomi oleh beberapa negara sejak 2017. Antaranya dengan menceburi sektor ternakan lembu bagi menghasilkan susu sedangkan negara berkenaan tidak mempunyai padang rumput yang banyak.

Beliau berkata, pentadbiran Qatar juga mengutamakan bidang pendidikan untuk rakyat mereka, antaranya dengan mempelawa banyak universiti terkemuka dunia untuk membuka cawangan di negaranya.

"Ini satu usaha yang akan menjadikan rakyat Qatar lebih berpelajaran daripada kebanyakan negara Islam lain. Pada masa sama mereka juga menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium untuk mengajar selain bagi pendidikan agama dan beberapa bidang lain,” katanya. - Bernama