PUTRAJAYA - Seramai 14 individu yang terdiri daripada penjawat awam di Putrajaya dipilih memenangi hadiah cabutan bertuah menerusi Kempen Year End Zakat (YEZ) anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Menerusi kempen itu, pembayar zakat berpeluang memenangi hadiah menarik setiap minggu dan cabutan bertuah akan dilakukan pada setiap Isnin sepanjang Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, Kempen YEZ bertujuan untuk mengajak masyarakat bersama-sama menunaikan pembayaran zakat sebelum 31 Disember ini.
"Disebabkan itulah, sebagai galakan kita menyediakan kempen ini khas buat penjawat awam yang membuat pembayaran zakat sebelum akhir bulan ini,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Hadiah Kempen YEZ di Kaunter PPZ Presint Diplomatik di sini semalam.
Antara hadiah menarik yang disediakan untuk pemenang bertuah kempen itu ialah basikal, dash camera dan telekung.
Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, PPZ-MAIWP sentiasa bersedia menerima kehadiran pembayar zakat di Putrajaya malah kaunter pembayaran di Presint Diplomatik dan Presint 9 Putrajaya akan beroperasi setiap hari sepanjang bulan ini.
Beliau berkata, bermula 25 hingga 31 Disember, pihaknya juga akan melanjutkan tempoh operasi di kaunter pembayaran sehingga jam 9 malam bagi memudahkan orang ramai.
"Oleh sebab itu, kita mengajak semua masyarakat di Putrajaya agar dapat menggunakan kesempatan ini untuk membuat pembayaran zakat,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, buat masa ini, PPZ-MAIWP masih memerlukan kira-kira RM155 juta bagi mencapai sasaran kutipan sebanyak RM710 juta bagi tahun ini.
Menurutnya, pihaknya yakin sasaran kutipan tersebut akan dapat dicapai berdasarkan kepada perkembangan positif dan jumlah pembayaran secara atas talian yang semakin meningkat.
"Setakat ini, seramai 191,000 pembayar telah menunaikan tanggungjawab mereka dan jumlah itu telah mencapai sasaran pembayar yang diletakkan untuk tahun ini,” katanya.
Penjawat awam, Atiqah Zainal mengakui berasa amat gembira apabila memenangi hadiah sebuah basikal menerusi cabutan bertuah YEZ.
Atiqah, 32, berkata, dia sememangnya menunaikan zakat bersama PPZ-MAIWP sejak beberapa tahun lalu menerusi pembayaran melalui kaunter di Presint 9 di sini.
"Saya rasa amat bertuah pada kali ini apabila dapat menunaikan zakat di samping memenangi hadiah disediakan oleh PPZ-MAIWP,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shahril Mohd Mansor pula berkata, inisiatif oleh PPZ-MAIWP melalui kempen berkenaan adalah satu usaha yang baik bagi menggalakkan masyarakat membuat bayaran zakat.
Katanya, kebiasaannya, dia membuat pembayaran zakat melalui potongan gaji kerana platform itu lebih mudah.
"Malah, selalunya sekitar bulan November pula saya akan menunaikan zakat simpanan namun tahun ini saya sedikit terlewat untuk buat pembayaran. Tak sangka pula terpilih untuk dapat hadiah cabutan bertuah ini,” katanya.
Mohd Shahril turut mengajak semua masyarakat yang berkemampuan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan membuat pembayaran zakat bagi membantu golongan memerlukan.