Lagi warga China diberkas

Iklan
Razarudin ditemui media pada Ujian Kemahiran Menembak sempena Hari Polis ke-212 bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Lapang Sasar IPK di Jalan Padang Tembak di sini hari ini.

IPOH - Seramai 18 warga China dipercayai bekerja sebagai operator perjudian dalam talian ditahan dalam serbuan di banglo dua tingkat di Taman Pasir Wang, Lahat di sini semalam.

Serbuan sekitar jam 6 petang itu dilakukan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua suspek membabitkan 14 lelaki dan empat wanita berusia 20-an itu diberkas dalam Op Dadu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak dua minggu lalu mensasarkan pelanggan daripada republik negara itu sendiri.

Iklan

"Polis berjaya merampas 46 telefon bimbit, 16 komputer riba dan wang tunai berjumlah RM734.

"Berdasarkan laporan pakar mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dengan mensasarkan mangsa yang kemudiannya membuat pembayaran menggunakan aplikasi WeChat," katanya.

Iklan
Seramai 18 warga China menjalankan kegiatan perjudian dalam talian tumpas di Ipoh semalam.

Beliau ditemui pada Ujian Kemahiran Menembak sempena Hari Polis ke-212 bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Lapang Sasar IPK di Jalan Padang Tembak di sini hari ini.

Razarudin berkata, kesemua tangkapan akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pihaknya akan meneruskan risikan di semua daerah bagi menyekat kegiatan sindiket itu dari terus bertapak di negeri ini.

"Semua ketua polis daerah perlu mengambil inisiatif mengumpul maklumat seterusnya menjalankan serbuan walaupun sindiket ini mensasarkan rakyat China.

"Kita akan teruskan usaha membanteras kegiatan perjudian atas talian serta kesalahan lain yang dilihat boleh memperdayakan warga tempatan pula," katanya.