'Hanya pindah tempat, tiada staf dipecat'

Iklan
A Sivanesan - Foto Bernama

BIDOR - Penutupan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanjung Malim bermula bulan ini tidak sepatutnya dijadikan isu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, penutupan pejabat tersebut hanya melibatkan pertukaran tempat apabila mereka kembali ke PPD Batang Padang di Tapah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada mana-mana pegawai atau kakitangan yang diberhentikan akibat penutupan PPD Muallim itu.

"PPD Muallim sebelum ini tak ada bangunan sendiri cuma menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki. Sebelum ini pun mereka di bawah PPD Batang Padang.

Iklan

"Jadi perpindahan itu kita tidak pecat atau berhentikan sesiapa kakitangan cuma tukar pejabat sahaja. Tak jadi isu.

"Kalau kita mengurangkan kakitangan, memecat kakitangan itu adalah isu," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Back 2 School 2020 Yayasan Perak Peringkat DUN Sungkai di Dewan Muhibbah Bidor, di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengurus Pendidikan Yayasan Perak, Abdul Farid Wazali.

Sivanesan (tengah) bersama-sama penerima sumbangan barangan persekolahan ketika Program Back 2 School 2020 Yayasan Perak Peringkat DUN Sungkai di Dewan Muhibbah Bidor di sini hari ini.

Sebelum ini, isu penutupan PPD Muallim dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada November lalu.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai berkata, seramai 300 penerima bantuan persekolahan Yayasan Perak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Katanya, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun sebelumnya melibatkan penerima pelbagai kaum termasuk orang asli.

Beliau berkata, pemberian bantuan persekolahan itu bertujuan meringankan beban ditanggung ibu bapa kurang berkemampuan menjelang sesi persekolahan tahun hadapan.