DUNGUN - Tiga beranak maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Proton Iswara dan Perodua Kancil di Jalan Paya Kemudi, Kilometer 18, Jalan Dungun-Bukit Besi di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa, Shofek Mohd Isalam, 23, bersama suami dan seorang anak lelaki yang masih belum dikenal pasti identiti maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi anak lelaki mereka, Omar Farok Hairul Bashar, 4, yang turut berada di dalam kenderaan terbabit cedera parah dan kini menerima rawatan susulan di Hospital Dungun.
Ketua Polis Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki empat beranak dalam perjalanan dari Padang Pulut/ Bukit Besi, di sini, manakala Proton Iswara dipandu pelajar perempuan berumur 21 tahun dari arah Serdang menghala ke Padang Pulut/Bukit Besi.
"Setibanya di lokasi, difahamkan kereta dipandu pelajar perempuan itu masuk ke jalan bertentangan sebelum bertembung kereta dinaiki empat beranak yang kesemuanya pemegang kad UNCHR.
"Akibat pertembungan kuat, pelajar perempuan dari Kampung Jeram Hilir Tepoh, Kuala Terengganu turut cedera parah dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Dungun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, ketiga-tiga yang maut dibawa ke unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan berbahaya.