SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos membantah cadangan pimpinan tertinggi parti itu di peringkat negeri yang berhasrat untuk menjual bangunan UMNO Selangor.
Menurut Jamal, walaupun UMNO Selangor berdepan masalah kewangan berikutan akaun parti itu yang dibekukan sebelum ini, namun langkah bagi penjualan bangunan tersebut adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.
Beliau berkata, bangunan UMNO Selangor merupakan sebuah mercu tanda kepada kekuatan ahli serta parti Melayu itu di negeri ini, malah ia sepatutnya dipertahankan dengan apa cara sekali pun.
"Kita tahu, untuk bangunan itu beroperasi pastinya melibatkan perbelanjaan bagi penyelenggaraan, kakitangan, elektrik dan lain-lain namun langkah menjual bangunan adalah tidak wajar.
"Bangunan ini mempunyai sejarah yang tersendiri dan ia merupakan lambang kekuatan UMNO di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut Jamal berkata, pimpinan tertinggi UMNO Selangor yang diterajui oleh Pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan boleh mengambil langkah lain antaranya dengan menjual beberapa aset lain dimiliki parti itu.
Beliau berkata, walaupun beberapa siri perbincangan pernah diadakan bersama kepimpinan ketua bahagian di seluruh negeri ini, namun pihaknya masih tetap bertegas untuk mempertahankan bangunan tersebut daripada dijual kepada mana-mana pihak.
"Saya sanggup keliling seluruh Selangor untuk mengutip dana dengan membawa tabung daripada melihat bangunan itu dijual.
"Dan jika pengurusan tertinggi masih berhasrat untuk menjual, saya tidak teragak-agak untuk kaveat bangunan tersebut," katanya.
Tambahnya, beberapa ketua bahagian UMNO di negeri ini turut menyatakan bantahan bagi penjualan tersebut dan beranggapan terdapat pilihan lain boleh diambil oleh pihak pimpinan tertinggi parti di negeri ini untuk mempertahankan bangunan itu.
Dalam pada itu Mat Nadzari memaklumkan bahawa pihaknya mendapat banyak maklum balas berhubung perkara itu ketika perbincangan bersama semua ahli jawatankuasa empat peringkat sebelum ini.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mendengar dan berbincang dengan Jamal tentang perkara itu di dalam mana-mana mesyuarat rasmi yang dibuat sebelum ini.
"Kita sentiasa terbuka dan mendengar (sebarang pandangan)," katanya.