Projek pembesaran LTAPP bermula Mac depan: Exco

Iklan
Jagdeep Singh Deo

GEORGETOWN - Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bernilai RM800 juta dijadualkan bermula pada Mac tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kerja pembinaan untuk projek itu akan dilaksanakan oleh kontraktor yang akan dilantik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek itu diputuskan untuk dilaksanakan tahun hadapan selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP).

"Hasil mesyuarat Unit Pusat Setempat (OSC) dengan MBPP pada 3 Disember lalu, maka projek pembesaran LTAPP akan bermula pada Mac tahun depan. Ia akan mengambil masa selama 36 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Iklan

"Secara keseluruhan, projek pembesaran LTAPP ini akan dilakukan secara berperingkat menerusi empat fasa iaitu cadangan pembinaan apron parkir pesawat dan landasan laluan kapal terbang serta infrastruktur lain," katanya pada sidang media di Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang di sini hari ini.

Jagdeep berkata, bagi fasa kedua, ia membabitkan cadangan untuk merobohkan dan membina semula beberapa buah bangunan di LTAPP.

Iklan

"Antara bangunan yang akan diroboh dan dibina semula adalah bangunan menara kawalan trafik udara, bangunan dua tingkat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan bangunan Jabatan Meteorologi yang turut menempatkan stesen kesihatan dan kaji cuaca.

"Selain itu, turut dicadangkan adalah pembinaan satu unit bangunan dua tingkat Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan bangunan Unit Bencana Udara (ADU)," katanya.

Tambahnya, pembangunan tambahan itu dijangka akan meningkatkan kapasiti penumpang kepada 12 juta.

"Pembangunan ruang tambahan itu mampu meningkatkan kapasiti pengendalian terminal LTAPP daripada 6.5 juta penumpang ketika ini kepada 12 juta penumpang setahun," katanya.

Sementara itu, perunding utama projek pembesaran LTAPP, Datuk Abu Hassan Salleh berkata, projek itu akan menyaksikan dua kali ganda pembesaran pada lapangan terbang tersebut.

"Pembesaran LTAPP ini melibatkan pertambahan keluasan terminal sebanyak dua kali ganda berbanding keluasan ketika ini iaitu 54,000 meter persegi.

"Projek berkenaan juga nanti dijangka mampu menampung sehingga 28 pesawat komersial pada satu-satu masa berbanding 15 pesawat ketika ini," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan projek pembesaran LTAPP akan tetap diteruskan walaupun kerajaan menerima beberapa cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di negara ini.

Guan Eng berkata, pembesaran LTAPP kepada kapasiti maksimum 20 juta penumpang akan diteruskan tanpa mengambil kira faktor sampingan seperti cadangan pembinaan lapangan terbang baharu berdekatan dengan lapangan terbang tersebut.