KUALA BERANG - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebagai duta kecil bagi membantu untuk memberikan penjelasan tentang fungsi dan peranan sebenar Empangan Kenyir terutama pada musim banjir.
Anggota MPKK yang terlibat termasuklah dari Kampung Jenagor, Dura, Kuala Pueh, Dusun, Gaung, Pasir Nering, Bidur, Pulau Manis, Telemong, Kuala Por dan beberapa kampung lain yang berada di sepanjang Sungai Terengganu.
Ketua Stesen-Stesen Janaelektrik Kenyir, Bahagian Penjanaan TNB, Mustaphakamal Yacob berkata, usaha yang dipelopori sejak tahun 2017 itu penting bagi menangkis segala salah faham dan penularan berita tidak benar tentang empangan tersebut.
"Kita dapati ada pihak cuba menjelaskan sesuatu isu itu macam orang yang berpendidikan tinggi, macam jurutera tapi malangnya, huraian akhir yang dibuat itu salah sehingga orang percaya.
"Jadi apa yang kita buat ialah dengan melakukan sesi libat urus bersama MPKK dan menjadikan mereka sebagai mata dan telinga kita. Kita bawa semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa MPKK dan tunjuk kepada mereka empangan kita dan cerita macam mana kami beroperasi
"Jadi harapan kita supaya mereka dapat menjadi duta kecil untuk beritahu penduduk tentang tugas dan peranan TNB yang sebenar," katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Stesen-Stesen Janaelektrik Kenyir (SSJK) di sini baru-baru ini.
Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Tasik Kenyir adalah sebahagian daripada skim yang membentuk SSJK yang juga melibatkan Stesen Janakuasa Hulu Terengganu (SJHT), merangkumi Tasik Puah seluas 6,980 hektar dan Tasik Tembat (218 hektar).
Tasik Kenyir yang mula dibina pada 1978 ini lebih luas berbanding Kuala Lumpur yang hanya berkeluasan 24,400 hektar.
SJSM mempunyai empat unit turbin hidro yang menjana 100 megawatt (MW) setiap satu menjadikan keseluruhan tenaga elektrik yang dijana sebanyak 400MW.
Empangan Puah pula mempunyai dua turbin hidro yang menjana sejumlah 250MW dengan 125MW bagi setiap unit dan Empangan Tembat menjana 15MW melalui dua turbin hidro dengan 7.5 MW setiap unit.
Dalam pada itu, Mustaphakamal menegaskan bahawa SJSM yang merupakan empangan kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Empangan Bakun itu bukanlah punca berlakunya banjir di Terengganu.
Jelasnya, semua empangan di bawah tanggungjawab TNB mempunyai alur limpah yang menyalurkan air secara semula jadi selain bertujuan memastikan tahap air tidak melebihi empangan.
"Air yang melimpah keluar daripada empangan ini adalah perkara biasa dan normal kerana alur limpah ini adalah jenis tidak berpintu. Apabila air meningkat melebihi paras 145 meter, ia akan melimpah secara semula jadi.
"Berdasarkan reka bentuk, air boleh melimpah sehingga paras 153 meter atau sebanyak 8 meter," katanya.
Menurut beliau, dalam sejarah 34 tahun empangan itu dibina, paras air paling tinggi yang direkodkan ialah 3 meter pada 2014.
"Waktu itu, kita menerima taburan hujan lebat yang tinggi dan buat kali pertama dalam sejarah di Tasik Kenyir, air melimpah melebihi 3 meter, biasanya hanya 0.5 atau 1 meter sepanjang 34 tahun beroperasi," ujar beliau.
Mustaphakamal menjelaskan, empangan tersebut memberikan manfaat besar kepada rakyat Terengganu dengan membekalkan keperluan air bersih sepanjang tahun, aktiviti pertanian dan perikanan.
Katanya, empangan tersebut akan menakung air sepanjang musim hujan dan akan digunakan sepenuhnya apabila tiba musim kemarau.
"Air yang ditakung ini digunakan bukan sahaja untuk menjana tenaga elektrik malah membekalkan air bersih kepada penduduk dan aktiviti penternakan ikan sangkar dan pertanian.
"Satu lagi fungsi empangan yang tidak diketahui ramai ialah membantu menolak keluar air laut daripada memasuki kawasan loji rawatan air Syarikat Air Terengganu semasa berlaku pasang besar.
"Ia bagi mengelak rakyat Terengganu menerima air masin di rumah mereka," jelasnya.