Tidak timbul isu daulah terpendam: Cuepacs

Iklan
Adnan

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menjelaskan tidak wujud isu 'daulah terpendam' atau rasa tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Setiausaha Agungnya, Adnan Mat sebaliknya tidak menolak, pertembungan mungkin berlaku akibat masalah komunikasi antara pembuat dasar dan pegawai pelaksana iaitu penjawat awam yang terikat dengan skop fungsi tugas.

Iklan
Iklan

"Jika belum ada dasar yang diubah, sebagai pegawai pelaksana, mereka akan meneruskan dengan kerja berdasarkan dasar semasa yang terpakai.

"Maka wujudnya pertembungan apabila pegawai melakukan tugas ikut dasar sedia ada tetapi ketuanya mahu pembaharuan tetapi mungkin tidak didokumentasikan sebagai satu dasar, akhirnya dasar lama juga dilaksanakan pegawai.

Iklan

"Pegawai pelaksana dan pembuat dasar perlu berkomunikasi dan meneliti perkara ini (dasar)," katanya pada sidang media di Wisma Cuepacs, petang tadi.

Beliau berkata, kepimpinan negara ketika ini perlu mencari jalan penyelesaian terhadap dasar kerajaan lama yang dilihat membelenggu ramai pegawai kerajaan hari ini, termasuk dikenakan tindakan 'sejuk beku'.

Iklan

Ini kerana katanya, dasar sedia ada akan tetap digunakan pegawai kerajaan hari ini jika tiada dasar baharu diperkenalkan.

"Dua minggu lepas, ada pegawai yang 'disejuk beku' termasuk ketua setiausaha dipindahkan 24 jam. Proses kerja mereka adalah sebagai pekerja kerajaan, berkhidmat dengan kerajaan hari ini dengan melaksanakan semua dasar berkaitan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, situasi itu berlaku disebabkan dasar masih kekal dengan sedia ada walaupun berlaku perubahan pentadbiran kerajaan.

"Ia masih kekal dan kami akan menjalankan dasar itu disebabkan terikat dengan peraturan, perintah am, dasar semasa, pekeliling perkhidmatan serta pekeliling perbendaharaan.

"Apabila orang baharu (kerajaan) masuk di peringkat kementerian, dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dahulu masih dilaksanakan. Bagi orang lain, ia mungkin dasar Barisan Nasional tetapi bagi kami (pegawai kerajaan), ia adalah dasar kerajaan," katanya.