KUALA LUMPUR - Pemilihan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyaksikan 50 peratus kemunculan muka-muka baharu bagi mengisi jawatan dipertandingkan bagi sesi 2019-2022.
Setiausaha Agung Cuepacs, Adnan Mat berkata, ini merupakan kali pertama ramai yang menawarkan diri pada Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 yang akan diadakan Selasa depan.
"Ini adalah konvensyen pertama yang begitu ramai menawarkan diri berikutan wujudnya kepimpinan baharu di peringkat gabungan Cuepacs itu sendiri,” katanya pada sidang media di Wisma Cuepacs petang tadi.
Beliau memaklumkan, kesatuan berkenaan telah menerima 220 pencalonan dengan 109 sah bertanding.
Justeru, dengan kemunculan muka-muka baharu, Adnan menasihatkan ahli agar mematuhi etika sebagai penjawat awam.
"Oleh kerana ada 50 peratus generasi baharu, mereka diingatkan untuk menjaga tatasusila sebagai penjawat awam.
"Perlu diingatkan juga, jangan berlebihan dalam menjalankan populariti bagi meraih sokongan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, mereka yang tewas pada pemilihan kali ini masih berpeluang berada dalam kesatuan tersebut sebagai wakil kongres bagi membincangkan hala tuju dan perjuangan seterusnya.
Pada sidang media itu juga, Adnan yang merupakan salah seorang daripada lima calon yang bertanding jawatan Presiden memaklumkan, seramai 1,502 perwakilan akan mengundi pada hari tersebut.
Pemilihan tersebut dijangka dijangka 2,000 hadirin termasuk 500 pemerhati.
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda tidak akan mempertahankan jawatan disandangnya pada pemilihan kali ini apabila menamatkan perkhidmatan dengan Cuepacs pada 16 Disember ini.
Selain Adnan, persaingan lima penjuru jawatan tertinggi itu bakal membabitkan Timbalan Presiden Cuepacs, Zainal Ismail dan Timbalan Setiausaha Kewangan Cuepacs, Mohd Razali Singah.
Dua lagi calon adalah Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Abdul Malik Mohamed Zin dan Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia, Datuk Ahmad Shuffir Zakaria.
Konvensyen Tritahunan kali ke-28 kesatuan berkenaan bakal berlangsung selama tiga hari bermula 17 Disember dan berakhir 19 Disember ini di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.