PKNS, TNB jalin kerjasama bantu b40 miliki rumah sendiri

Iklan
Siti Zubaidah dan Roslan bersama para penerima sumbangan pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat TNB 2019 Peringkat Negeri Selangor dengan kerjasama PKNS di Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14 Shah Alam hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) buat julung kalinya menjalin kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu golongan kurang berkemampuan (B40) memiliki kediaman sendiri.

Kerjasama tersebut direalisasikan menerusi Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) iaitu dengan TNB memperuntukkan RM50,000 kepada setiap penerima bagi membeli atau melunaskan baki pembayaran perumahan mereka melibatkan projek kediaman PKNS.

Iklan
Iklan

Sebanyak enam keluarga menerima manfaat bagi program PBJ, manakala satu keluarga untuk PMR yang kesemua mereka adalah penghuni perumahan PKNS di Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Klang dekat sini.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkat,a usaha seumpama itu dijalinkan berikutan jumlah golongan kurang berkemampuan di Selangor khususnya kawasan bandar dan pinggir bandar semakin meningkat.

Iklan

"Tujuh penerima manfaat projek ini adalah penghuni rumah PKNS sejak sekian lama yang mereka tak mampu untuk membelinya. Dengan keprihatinan TNB, kesemua mereka dapat dibantu memiliki rumah sendiri dalam keadaan selesa.

"Kami melihat isu sosial dan moral bermula dari rumah, disebabkan itu dengan memiliki rumah yang sempurna, masyarakat akan menjadi lebih positif,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian replika kunci rumah berkenaan di sini hari ini.

Iklan

Tujuh penerima itu menerima replika kunci berkenaan daripada Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman.

Sementara itu Roslan berkata, jalinan kerjasama dengan PKNS di Selangor adalah berikutan kebanyakan golongan sasar menghuni di projek perumahan rakyat dan rumah pangsa.

"Rumah-rumah yang mereka diami sekarang mempunyai bayaran yang perlu dilunaskan dan kami bekerjasama dengan PKNS untuk selesaikannya.

"Di samping itu, kami juga ambil kesempatan untuk naik taraf kediaman itu yang kesemuanya diperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi setiap unit terlibat.

"Kami berjaya laksanakan tujuh unit rumah tahun ini di Selangor. Kami berharap jalinan kerjasama ini (dengan PKNS) akan membolehkan kami meneruskan usaha ini dengan jumlah yang lebih banyak pada tahun mendatang,” katanya. - Bernama