SHAH ALAM - Calon Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Ahmad Shuffir Zakaria bertekad untuk menjadikan kesatuan itu sebagai sebuah organisasi peneraju transformasi penjawat awam sekiranya dipilih memegang jawatan itu nanti.
Ahmad Shuffir yang juga Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Hutan Malaysia turut meletakkan tiga misi utama yang akan diperjuangkan untuk kesejahteraan penjawat awam di negara ini.
Menurutnya, tiga misi itu adalah memperkasakan tadbir urus kesatuan itu, memperkasakan integriti penjawat awam dan memperkasakan skim perkhidmatan bagi anggota kerajaan.
"Sudah tiba masanya Cuepacs melakukan transformasi di mana semua pemimpin yang dipilih perlu melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
"Kita tidak mahu lagi Cuepacs ini menjadi platform bagi pihak tertentu untuk mencuri tulang daripada kerja hakiki mereka.
"Selain itu, kita tidak mahu lagi melihat kesatuan ini dimonopoli oleh pihak tertentu,” katanya yang telah 31 tahun berkhidmat dalam sektor awam.
Mengulas lanjut katanya, sekiranya beliau dipilih untuk memimpin kesatuan itu, antara fokus yang akan diberikan perhatian adalah mengukuhkan kembali kerjasama Cuepacs dengan kerajaan yang dilihat agak ‘longgar’ ketika ini.
"Kepimpinan Cuepacs perlu mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan yang memerintah supaya setiap agenda yang ingin dilaksanakan dapat berjalan dengan baik,” katanya.
Seorang lagi calon bagi jawatan sama, Zainal Hashim berkata, manifesto bertemakan ‘Tiada yang Terpinggir, Tiada Yang Tertinggal Dalam Perjuangan’ akan diangkat dalam kempennya bagi pemilihan orang nombor satu dalam kesatuan itu.
Katanya, bertepatan dengan tema manifesto, beliau akan memastikan setiap keputusan dibuat secara bersama antara pegawai tertinggi, jawatankuasa kerja tertinggi dan Majlis Kongres Cuepacs sekiranya berjaya memenangi pemilihan itu nanti.
"Saya akan melaksanakan tugas secara kolektif dan berpasukan dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat.
"Selain itu, saya juga akan berusaha mengembalikan imej Cuepacs ke arah perjuangan berteraskan kebajikan pekerja.
"Di samping itu juga, saya juga akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan produktiviti dan dalam masa yang sama mengutamakan integriti,” katanya.
Menurut Zainal yang juga Presiden Kesatuan Lembaga Air Perak berkata, pengalaman beliau sebagai Timbalan Presiden Cuepacs selama sembilan tahun juga dijadikan sandaran buatnya untuk memegang jawatan utama kesatuan utama bagi kakitangan awam di negara ini.
Tiga nama lain yang turut disahkan bertanding bagi pemilihan jawatan nombor satu kesatuan itu adalah Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (UPM), Razali Singah; Timbalan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan merangkap Setiausaha Agung Cuepacs, Adnan Mat dan Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Abdul Malik Mohamed Zin
Sinar Harian semalam melaporkan lima calon disahkan akan bertanding bagi merebut jawatan Presiden pada Konvensyen Tritahunan kali ke-28 Cuepacs yang akan berlangsung tiga hari bermula 17 Disember ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.