KELIBAT jagoan berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang kembali menggamit perhatian apabila siri kelima Piala Dunia membuka tirai secara rasminya di Brisbane, Australia hari ini.
Dalam laman Facebook peribadinya, Azizulhasni melahirkan rasa teruja apabila penampilannya kali ini bakal disaksikan isterinya, Athiah Ilyani Abdul Samad dan kedua-dua anaknya sambil memberitahu akan memperagakan kayuhan terbaik buat mereka.
Iklan
Iklan
Minggu lalu, Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman mencipta sensasi apabila menjuarai acara keirin pada siri keempat Piala Dunia di Cambridge, New Zealand.
Azizulhasni, 31, mengesahkan pingat emas menjadi miliknya apabila merakamkan catatan masa 9.853 saat, sekali gus mengetepikan dua pelumba pilihan iaitu Alan Shane Perkins dan Matthew Glaetzer yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Selain Azizulhasni, skuad berbasikal negara turut menyandarkan harapan kepada Shah Firdaus Sahrom dan Anis Amira Rosidi pada siri kelima Piala Dunia itu yang berlangsung di Velodrom Anna Meares.