Jamal mohon kaveat pertahan bangunan UMNO Selangor

Iklan
Bangunan UMNO Selangor. (Gambar kecil: Jamal Md Yunos)

SHAH ALAM - [KEMASKINI] Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bertegas untuk membuat permohonan kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor.

Menurutnya, permohonan itu akan dibuat di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada Selasa ini jam 10 pagi.

Iklan
Iklan

"InsyaALLAH Selasa pukul 10 pagi saya akan ke SUK Selangor untuk kaveat bangunan UMNO Selangor. Tindakan ini diambil berikutan pihak pimpinan UMNO negeri masih meneruskan hasrat untuk menjual bangunan tersebut.

"Saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang termasuk dipecat daripada jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar demi untuk pertahan maruah UMNO Selangor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Jamal berkata, tetap akan meneruskan tindakan tersebut dan membawa penasihat undang-undang serta peguam biarpun tiada seorang pun ketua bahagian di negeri ini menyokong tindakannya.

Menurutnya, beliau juga tidak akan menghasut mana-mana ketua bahagian supaya menyokong tindakannya itu.

Iklan

"Tindakan ini mungkin akan mendapat reaksi tidak baik dalam kalangan rakan-rakan di UMNO Selangor namun saya tidak mempunyai pilihan kerana tidak mahu di waktu akan datang pemimpin parti termasuk saya menjadi sejarah dikeji oleh ahli.

"Oleh itu saya akan berusaha untuk kaveat bangunan tersebut dan tidak mahu lagi sebarang perbincangan dibuat kerana dimaklumkan perkara (menjual bangunan UMNO Selangor)sudah diputuskan,” katanya.

Dalam pada itu Jamal berkata, ada pemimpin bahagian yang sudah menandatangani persetujuan menjual bangunan tersebut memaklumkan akan menarik diri daripada membenarkan aset UMNO itu dijual.

Katanya, pimpinan negeri sepatutnya memikirkan kaedah lain bagi menampung kos perjalanan operasi UMNO.

Menurutnya, beliau tiada masalah jika pimpinan negeri mengambil keputusan menjual aset UMNO yang lain.

"Bagi saya apa cara sekalipun bangunan tersebut perlu dipertahankan sebagai lambang maruah UMNO Selangor.

"Masih ada banyak aset lain, sepatutnya itulah yang dicairkan, saya yakin sebahagian besar ahli UMNO bersependapat dengan keputusan saya,” katanya.

Terdahulu, Jamal dilapor membantah cadangan pimpinan tertinggi parti itu di peringkat negeri yang berhasrat untuk menjual bangunan UMNO Selangor.

Menurut Jamal, walaupun UMNO Selangor berdepan masalah kewangan berikutan akaun parti itu yang dibekukan sebelum ini, namun langkah bagi penjualan bangunan tersebut adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.

Katanya, bangunan UMNO Selangor merupakan sebuah mercu tanda kepada kekuatan ahli serta parti Melayu itu di negeri ini, malah ia sepatutnya dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

Beliau juga sanggup mengelilingi seluruh Selangor untuk mengutip dana dengan membawa tabung daripada melihat bangunan itu dijual.

Dalam pada itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan bagi mendapatkan maklum balas terkini berhubung isu tersebut.

Mat Nadzari sebelum ini dilapor berkata, pihaknya mendapat banyak maklum balas berhubung perkara itu (menjual bangunan UMNO Selangor) ketika perbincangan bersama semua ahli jawatankuasa empat peringkat sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan mendengar sebarang pandangan berhubung isu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Jamal bantah jual bangunan UMNO Selangor