KUANTAN - Nelayan dua beranak berdepan detik cemas apabila terkandas selama 24 jam di lautan apabila enjin bot fiber dinaiki mereka rosak pada kedudukan 8 batu nautika dari Jeti Tanjung Gelang semalam.
Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila berjaya diselamatkan oleh nelayan bot pukat tunda yang terlihat bot mereka di lautan.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Shaharul Nizam Mat Yasin, 44, bersama bapanya, Mat Yasin Sulong, 67 sedang menangkap ikan di perairan laut berkenaan.
Menurut Shaharul Nizam, sewaktu menangkap ikan, enjin bot fiber yang dinaiki mereka telah rosak dan mereka sukar mendapatkan bantuan selepas telefon bimbit milik ayahnya kehabisan bateri.
"Pada masa itu, kami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali pasrah dengan ketentuan ALLAH. Keadaan laut bergelora, ombak besar dan angin kencang merisaukan kami sebenarnya kerana bila-bila masa bot yang dinaiki boleh terbalik.
"Alhamdulillah ALLAH masih panjangkan usia apabila berjaya diselamatkan oleh bot nelayan pukat tunda yang terlihat bot kami yang rosak pada kedudukan 8.2 batu nautika dari Tanjung Gelang di sini," katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Padang lalang di sini.
Dua nelayan itu sebelum ini dilaporkan dikhuatiri hilang di laut sejak kelmarin selepas didakwa mengadu enjin bot fiber yang dinaiki mereka rosak pada jam 4 petang, kira-kira 8.2 batu nautika dari Tanjung Gelang.
Shaharul Nizam berkata, pengalaman ngeri yang dilalui itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila selepas terkandas di lautan hampir seharian.
"Kisah ngeri ini, pahit untuk dikenang tetapi tidak mematahkan semangat kami anak beranak terus mencari rezeki di lautan," katanya.
Shaharul berkata, dia beberapa kali cuba menarik perhatian kapal besar termasuk pasukan keselamatan dengan menyalakan api dengan membakar kain namun ia gagal.
Katanya, ini disebabkan keadaan terlalu gelap dan jaraknya pemandangan jauh menyebabkan mereka terus terkandas di perairan lautan terbabit.
Sementara itu, Mat Yasin berkata, pagi semalam dia melihat kapal pasukan penyelamat dan sekali lagi mereka anak- beranak melambai-lambai tangan, namun masih gagal dilihat pasukan penyelamat.
Menurutnya, pasukan penyelamat tidak dapat melihat mereka mungkin disebabkan faktor ombak besar dan jarak yang jauh, walaupun mereka sudah melambai-lambai.
Bagaimanapun, dia bersyukur apabila sebuah bot pukat tunda menjumpai mereka kira-kira jam 4 petang semalam dan menunda mereka ke Jeti Perikanan Tanjung Gelang di sini.
"Saya amat bersyukur ketika ditemui oleh pukat tunda itu kerana bimbang semakin lambat ditemui kami akan menjadi semakin lemah," katanya.
Bercerita lanjut mengenai kejadian menimpanya, Mat Yasin berkata, dia menggunakan sepenuh pengalaman yang dimiliki untuk menghadapi situasi tersebut.
"Ketika itu, saya cuba menaikkan sauh di lokasi asal di tempat enjin bot kami rosak dan membiarkan bot hanyut kerana tapi saya bimbang ombak besar akan menyebabkan bot terbalik.
"Arus kuat itu menghanyutkan bot saya sehingga ke kawasan di mana saya dapat melihat Teluk Cempedak dari jauh dan saya melabuhkan sauh di situ sehingga dijumpai petang semalam," katanya yang tidak tidur semalam bimbang bot terbalik.
Mat Yasin bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat kerana bertungkus-lumus melakukan pencarian mereka.
"Hanya ALLAH sahaja yang dapat balas jasa anda semua," katanya.