SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebanggaan baginda apabila atlet Selangor menunjukkan pencapaian terbaik pada Temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina minggu lalu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak istana hari ini, baginda bertitah kejayaan itu akan terus menjadi inspirasi kepada pegawai dan atlet untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kejayaan dan mengharumkan nama negeri Selangor.
Iklan
Iklan
Baginda turut bertitah, walaupun kali ini adalah pencapaian terburuk negara namun baginda bangga kerana atlet negeri ini menyumbangkan sebahagian besar pingat emas untuk Malaysia.
"Beta dan Raja Muda Selangor menzahirkan rasa sukacita dan mengucapkan tahniah kepada atlet negeri Selangor dan juga pegawai yang terlibat kerana berjaya mendapatkan pingat pada temasya Sukan SEA ke-30," titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga mahu sebarang pertikaian membabitkan sukan perlu diselesaikan dengan cara yang baik pada kadar segera.
"Masalah berkenaan tidak mengira Majlis Sukan Negeri, Majlis Sukan Negara atau pun persatuan-persatuan sukan yang terlibat," katanya.
Malaysia meraih 26 pingat emas, 12 pingat perak dan 17 pingat gangsa pada temasya sukan yang berakhir pada 5 Disember lalu.