PENYANYI Nora Ariffin menerusi sebuah klip video di Instagramnya hari ini berkongsi berita sedih, kehilangan anak keduanya Alif Johan yang disahkan meninggal dunia di rumah mereka pagi tadi.
Difahamkan penyanyi Dendam dalam Diam itu tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku.
"ALLAH uji saya sekali lagi. Saya nak bagitahu semua, anak saya Alif Johan baru sahaja menghembuskan nafas terakhirnya dan telah kembali ke Rahmatullah pada pagi tadi di rumah saya.
"Jenazahnya akan dikebumikan secepat mungkin pada hari ini. Ampun maaf atas semua kesalahannya. Saya diuji sekali lagi, saya reda Ya ALLAH,” kongsi Nora dalam tangisan.
Bagaimanapun setakat ini, belum dapat dipastikan punca sebenarnya kematian Alif dan tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh Nora berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu, Nora menyifatkan kehilangan ini sebagai ujian kali kedua buatnya selepas kehilangan suami, Johan Nawawi, yang juga komposer terkenal pada 24 Mac 2017.
Allahyarham Aliff atau nama lengkapnya Muhammad Syakir Alif Johan, 20, sebelum ini pernah tersenarai sebagai top 20 program realiti Mentor Milenia 2019.
Selain itu, Alif juga menganggotai kumpulan Voices of Ummi.